LIPIS: Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa makna yang begitu besar buat Juliza Che Hamzah, 40, apabila impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas lebih 12 tahun menyewa.
Juliza dan suaminya, Mohd. Asrul Baharudin, meluahkan rasa syukur apabila permohonan mereka untuk mendapatkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) diluluskan, membolehkan mereka sekeluarga berpindah ke kediaman baharu pada November lalu.
“Selama ini, kami hanya mampu menyewa kerana tidak berkemampuan membeli rumah sendiri. Syukur Alhamdulillah, tahun ini kami dapat menyambut Ramadan dan Syawal di rumah sendiri buat pertama kali. Ia satu rezeki yang sangat bermakna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Juliza yang bekerja di lombong emas, manakala suaminya di kilang sawit, berkata mereka hanya perlu membayar RM300 sebulan untuk rumah berkenaan yang lengkap dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.
Dia juga berharap lebih ramai golongan berpendapatan rendah dapat menikmati peluang serupa kerana memiliki rumah sendiri adalah impian setiap keluarga. – UTUSAN










