Buruh binaan jalani pembedahan buang besi tertusuk muka

Buruh binaan jalani pembedahan buang besi tertusuk muka

AZLAN Mahmood ditemani anak bongsunya, Muhd. Aliff selepas menjalani pembedahan mengeluarkan besi pada bahagian muka di Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Buruh binaan yang mengalami kecederaan setelah tertusuk besi pada bahagian muka selamat menjalani pembedahan mengeluarkan besi itu, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Azlan Mahmood, 55, bersyukur apabila dimaklumkan doktor bahawa dia akan pulih seperti sedia kala, selain tidak mengalami kecacatan kekal akibat kejadian itu.

“Syukur umur saya masih panjang apabila tidak perlu melalui pembedahan yang rumit dan tempoh pun singkat iaitu hanya kira-kira dua jam untuk mengeluarkan besi jenis Y12 itu.

“Saya lega apabila dimaklumkan doktor kecederaan yang dialami juga tidak akan menyebabkan komplikasi penyakit lain serta tidak mengenai bahagian otak,” katanya ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, seorang buruh binaan bernasib baik apabila besi cerucuk yang dipacak untuk membina longkang tidak me­ngenai otaknya ketika terjatuh di sebuah kawasan pembinaan di Kampung Bukit Hangus, Je­neri di Sik.

Mengimbau kejadian itu, Azlan berkata, dia mengambil upah membina penghadang longkang di lokasi kejadian selepas diminta penduduk kampung itu untuk memudahkan mereka membawa keluar hasil kelapa sawit.

“Pagi kejadian merupakan minggu kedua saya bekerja di situ dan selesai membancuh simen kira-kira 9.30 pagi, saya guna motosikal tiga roda milik penduduk untuk mengambil pam air di kampung sebelah.

“Ketika menuruni jalan yang agak tinggi di situ motosikal hilang kawalan sebelum terbalik ke tapak pembinaan menyebabkan besi cerucuk tertusuk ke bahagian pipi dan kepala,” katanya.

Tambahnya, ketika kejadian dia tidak berasa sakit dan hanya sedar ada besi di pipinya selepas tidak dapat menggerakkan kepala untuk bangun.

“Darah mula mengalir, saya menjerit meminta bantuan dan nasib baik dua penduduk datang untuk melihat proses pembinaan, sebelum salah seorang mengambil alat pemotong besi bagi membolehkan saya bangun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN