TERLETAK 200 meter dari aras laut berhampiran muara Sungai Terengganu, Bukit Puteri menjadi ‘saksi bisu’ yang menyimpan 1,001 kisah mitos, legenda, sejarah peradaban dan ketamadunan Terengganu.
Lokasinya yang berdekatan dengan bangunan bersejarah Istana Maziah dan Masjid Abidin selain tempat tumpuan orang ramai iaitu Pejabat Pos dan Pasar Kedai Payang yang bersebelahan dengannya, menjadikan kedudukan bukit itu bertambah istimewa.
Pada lewat 80-an dan 90-an, Bukit Puteri yang kaya dengan kisah kubu pertahanan dan dikaitkan dengan tempat tinggal puteri bunian menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pelancong dari dalam serta luar negara.
Namun penutupan Bukit Puteri selama hampir tujuh tahun bermula 2018 atas faktor-faktor tertentu dan untuk kerja pengubahsuaian menyebabkan kawasan itu seolah-olah ‘hilang dari radar’.
Ia kembali mendapat ‘nyawanya’ setelah dibuka semula kepada orang ramai bermula 2 Februari lalu sebagai daya tarikan pelancongan berasaskan sejarah di Terengganu.
Ketika ini, ramai pelancong terutama generasi muda turut menjadikan Bukit Puteri sebagai lokasi riadah dan rekreasi.
MITOS
Antara cerita lisan legenda yang popular dalam kalangan rakyat Terengganu adalah kononnya Bukit Puteri dahulunya menjadi tempat tinggal puteri bunian. Penduduk tempatan dikatakan seringkali meminjam pinggan dan mangkuk daripada puteri berkenaan untuk majlis kenduri kendara.
Menurut cerita lisan masyarakat dahulu, untuk mengadakan majlis perkahwinan, seorang bangsawan dikatakan meminjam perhiasan serta pinggan mangkuk yang diperbuat daripada emas serta perak daripada puteri tersebut.

Namun, setelah majlis tersebut berakhir, perhiasan serta kelengkapan yang dipinjam dipulangkan dalam keadaan yang tidak sempurna. Akibat peristiwa tersebut, puteri itu merajuk dan lari ke Besut dan dikatakan berpindah ke sebuah bukit di daerah berkenaan yang juga dikenali sebagai Bukit Puteri.
SEJARAH DAN LEGENDA
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Fauzi Muda berkata, terdapat beberapa cerita dan versi tentang asal usul nama Bukit Puteri namun tidak dapat dipastikan bila masa sebenar bukit ini mendapat nama.
“Ketika Datuk Bendahara Padang Saujana Johor menghantar wakilnya Megat Seri Rama dan Paduka Raja untuk memerintah Terengganu pada 1697, kawasan bukit ini sudah pun dikenali sebagai Bukit Puteri,” katanya.
Sumber lain pula mengatakan bahawa Bukit Puteri berasal dari nama Tuk Raja Maha Menteri dari Johor yang dikatakan telah membuka Bukit Puteri.
Beliau berkata, lokasi yang strategik dalam mengawal laluan utama laut dan kuala sungai menjadikan Bukit Puteri sebagai kubu pertahanan pada zaman dahulu terutama semasa pergolakan politik Kesultanan Terengganu antara 1831 hingga 1839. Ia membabitkan Tengku Umar dengan Sultan Mansur II dan Tengku Umar dengan Sultan Muhamad I.
Katanya, kesan daripada perang saudara itu masih kekal hingga ke hari ini sebagai warisan sejarah antaranya kubu, singgahsana sementara, tempat simpanan ubat bedil dan meriam.
“Bukit Puteri menjadi benteng kubu pertahanan terutama semasa berlakunya peperangan saudara pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II (1831-1836), Sultan Muhamad I (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876).
“Selain itu, Bukit Puteri sangat penting dari aspek pertahanan Terengganu untuk memantau sebarang ancaman berbahaya dari luar,” katanya.
Kedudukannya yang strategik menjadikan perbukitan ini satu kawasan penting pada zaman dahulu sebagai pusat kawalan dan pertahanan kerajaan.
KUBU PERTAHANAN
Fauzi berkata, kubu pertahanan semasa berlakunya peperangan saudara itu masih lagi teguh walaupun menelan usia lebih satu abad.
“Bahan binaan yang digunakan terdiri daripada pasir, putih telur, kapur, kulit kerang dan madu lebah. Di sebelah bawah tiang bendera, terdapat kesan tempat yang dijadikan sebuah bilik batu gua dalam tanah.
“Ia berkemungkinan tempat menyimpan peluru dan ubat bedil pada masa dahulu,” katanya.
Di sebelah atasnya pula terdapat kesan-kesan singgahsana raja sebagai tempat kawalan.
MERIAM
Katanya, di atas bukit itu terdapat tiang api atau rumah api menandakan Kuala Negeri bagi kapal-kapal di laut.
“Pada zaman dahulu terdapat beberapa pucuk meriam diletak di atas benteng yang menghala ke laut dan ke darat. Meriam yang terdapat di atas bukit ini adalah saki baki yang gagal diangkut oleh pihak Siam ketika Perang Dunia Kedua (1943-1945),” katanya.
Menurut beliau, meriam-meriam itu terdiri daripada pelbagai buatan seperti buatan Portugis, Sepanyol dan ada yang dibuat oleh orang-orang Melayu sendiri.
Antara nama meriam yang pernah ditempatkan di Bukit Puteri itu ialah Sri Johor, Sri Buih, Laila Majnun dan Sri Jamlor dikenali sebagai Meriam Beranak.
Kini, meriam-meriam itu masih kekal dan sesetengahnya dipindahkan ke beberapa tempat di bandar Kuala Terengganu serta ke kawasan Istana Badariah sebagai perhiasan.
GENTA BESAR
Satu lagi kesan sejarah yang masih terdapat di atas Bukit Puteri hingga sekarang ialah sebuah Genta Besar. Genta itu sentiasa ada di atas Bukit Puteri sejak zaman raja-raja dahulu.
Fauzi berkata, sekiranya rosak, genta itu diganti dengan yang lain dan genta yang ada sekarang diperbuat pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III iaitu kira-kira dalam tahun 1908.

“Genta yang beratnya 175 kilogram ini, adalah sebuah loceng besar yang diperbuat daripada tembaga. Fungsinya pelbagai guna seperti pengumuman berbuka puasa, hari raya, kejadian amuk, musuh melanggar negeri dan lain-lain. Genta ini hanya dipukul (dibunyikan) oleh budak raja.
“Hari ini genta ini masih digunakan untuk mengumumkan waktu berbuka puasa dan waktu imsak,” katanya.
Sementara itu, terdapat satu kawasan kubur di atas bukit ini dan satu daripadanya mempunyai nisan batu Acheh dipercayai Kubur Syed Yassin Syed Aqil Al Yahya. Beliau adalah seorang pembesar negeri dan menantu kepada Sultan Abidin I.
KEMBALI DIBUKA
Bukit Puteri dibuka semula bermula 2 Februari lalu setelah lama ditutup akibat pembangunan yang pesat di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu.
Fauzi berkata, pembukaan semula Bukit Puteri adalah usaha berterusan Lembaga Muzium Terengganu dalam menghidupkan semula sejarah serta pemuliharaan monumen serta artifak yang terdapat di lokasi tersebut.
“Kita usahakan beberapa penambahbaikan infrastruktur kawasan ini dalam usaha untuk menggamit semula kedatangan pelancong.
“Bukit Puteri akan menjadi satu lagi lokasi produk pelancongan berharga untuk negeri Terengganu seterusnya warisan sejarah untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Amirul Syafiq Azlan Sham, 43, berkata, Bukit Puteri adalah antara lokasi kegemarannya untuk melakukan aktiviti riadah pada waktu petang namun kecewa apabila ditutup kepada orang ramai pada tahun 2018.
“Di Kuala Terengganu, hanya bukit ini yang paling dekat dengan muara Sungai Terengganu dan pemandangannya sangat memukau terutama pada waktu petang.
“Selepas ditutup, saya mula beralih kepada lokasi riadah lain seperti Bukit Besar dan Bukit Maras namun kerinduan terhadap panorama Bukit Puteri tetap ada.
“Alhamdulillah, akhirnya Bukit Puteri dibuka semula dan semakin ramai yang mengunjunginya bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kerana pendakiannya yang agak santai serta tidak terlalu meletihkan,” katanya.
Seorang guru, Muhammad Firdaus Ahmad Karim, 39, pula berkata, satu ketika dahulu, dia sering membuat persembahan silat bersama rakannya untuk menyambut kedatangan pelancong setiap kali ada acara majlis rasmi di Bukit Puteri.
“Alhamdulillah, terubat sudah kerinduan saya untuk kembali beraksi di sini mempersembah kebudayaan warisan masyarakat Melayu kepada pelancong dari luar negara tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN










