PUTRAJAYA: Survival politik Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan ditentukan parti sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau sebaliknya.
Wan Azizah yang juga isteri kepada Perdana Menteri berkata, beliau akan menerima apa jua keputusan demi kelangsungan parti.
“Saya menjadi ahli politik ini secara tidak sengaja dan bukan pilihan saya (pada asalnya). Tetapi, setelah diberikan tanggungjawab dan amanah maka saya perlu laksanakan dan selesaikan sebaik mungkin sebagaimana yang diajar dalam Islam.
“Kita pegang amanah ini bukan suka-suka. Sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memegang amanah untuk melakukan yang terbaik dengan izin Allah,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia semalam.
Untuk rekod, Wan Azizah telah menceburi bidang politik selama 27 tahun ketika Anwar buat kali pertama dijatuhkan hukuman penjara.
Kelmarin, anak pasangan Anwar dan Wan Azizah, Nurul Izzah mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 24 Mei ini.
Nurul Izzah mengakui laluannya agak sukar untuk mempertahan jawatan itu sebagai kelangsungan dan persiapan parti menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam temubual itu juga, Wan Azizah turut berkongsi pandangan mengenai pentadbiran yang dipimpin Anwar menunjukkan tatakelola baik yang mengikut syariah Islam.
“Sebab itu Perdana Menteri ingin buat yang terbaik untuk dunia dan akhirat, asalkan ia masih dalam lingkungan dasar-dasar yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Azizah mengakui hubungannya bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tiada ketegangan meskipun tidak lagi dalam kelompok politik yang sama.
“Saya pernah hadir dalam satu program bersama dengan Dr. Mahathir pada September 2024 ketika perasmian bangunan Akademi Perubatan Malaysia dan semuanya baik-baik sahaja. Kami memang tiada masalah dari segi hubungan dalam politik serta kerja.
“Cuma saya agak terkilan sedikit kerana tidak mengetahui tentang Langkah Sheraton. Tiba-tiba mereka (pemimpin Bersatu) keluar daripada kerajaan. Kami terkejut sebab Dr. Mahathir tidak datang bekerja.
“Tetapi, peristiwa itu ada hikmah apabila kerajaan hari ini tidak disertai mereka yang membelakangi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu. Saya sedih sebenarnya sebab beberapa orang itu juga yang membantu saya dalam parti sewaktu Anwar dalam penjara,” ujarnya. – UTUSAN










