MARAN: Pasukan khas Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menangkap lima ekor gajah dalam operasi pemindahan di Ladang Felda Jengka 1 di sini.
Operasi bermula 10 Mac lalu itu menyasarkan kira-kira 20 ekor gajah yang dipercayai berkeliaran di kawasan berkenaan. Sehingga kini, lima ekor ditangkap manakala seekor sengaja dilepaskan semula selepas dipasangkan mikrocip bagi tujuan pemantauan.
Ketua operasi, Dady Mulyadi Rahmat berkata, pasukannya berdepan cabaran besar kerana operasi dijalankan dalam bulan Ramadan dengan kekuatan 25 anggota berpengalaman.
“Kami bukan sahaja perlu menangani kesukaran menangkap gajah liar, tetapi berpuasa dalam cuaca panas terik. Namun, demi keselamatan penduduk dan kelestarian hidupan liar, kami tetap komited meneruskan tugas ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.
Dua daripada lima gajah yang ditangkap sudah dipindahkan ke Tasik Kenyir, Terengganu manakala dua lagi haiwan liar tersebut akan dihantar ke lokasi sama, hari ini.
Sementara iru, Mohd. Suhairi Ishak, 34, yang mengendalikan gajah denak Rambai berkata, proses menenangkan gajah sebelum dipindahkan sangat mencabar.
“Kami menggunakan gajah denak seperti Rambai untuk memujuk dan membimbing gajah ke kawasan pemindahan. Hubungan antara gajah denak dan gajah liar perlu dibina dengan sabar dan berhati-hati,” katanya.
Penjaga gajah denak Senum, Hisham Idris, 34, turut berkongsi cabaran mengawal haiwan besar itu dalam operasi berisiko tinggi.
“Gajah lboleh menjadi agresif apabila tertekan. Oleh itu, peranan kami sebagai mahut amat penting bagi memastikan keselamatan semua yang terlibat,” ujarnya. – UTUSAN











