TEMERLOH: Masjid Kampung Teluk Ira di sini, mengekalkan tradisi paluan beduk sebagai alat komunikasi kepada penduduk dan kariah kampung tersebut bagi menandakan masuk waktu solat, berbuka puasa dan jika berlaku kematian.
Pengerusi Badan Masjid Kampung Teluk Ira, Shaari Hisham Abd. Halim berkata, beduk di masjid kariah Kampung itu dianggarkan berusia hampir 100 tahun dan masih digunakan secara turun temurun kepada kira-kira 700 penduduk di situ.
Katanya, amalan membunyikan beduk yang menimbulkan nostalgia warga emas semakin jarang dilakukan atas faktor kemajuan teknologi tetapi kampung itu masih sinonim dengan bunyinya setiap kali masuk waktu solat.
“Setiap kali masuk waktu solat, siak masjid, Mohd. Nasir Abd. Latif, 68, yang bertugas sejak lebih 10 tahun selepas mengambil alih tugas arwah datuknya pasti memukul beduk.
“Beduk bersaiz 3.5 meter panjang dan 0.8 meter garis pusat ini dibuat daripada kayu jenis tembesu dan dihasilkan seorang penduduk jati kampung ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Shaari Hisham berkata, bahagian tengah kayu tembusu tersebut dilubangkan dan ditutupi dengan kulit lembu atau kerbau untuk menghasilkan bunyi yang kuat dan bergema.
“Pada Ramadan ini, beduk kekal simbol perpaduan penduduk setempat. Dengan saiznya yang besar, sudah tentu satu kampung dapat dengar gema bunyinya yang dipalu siak. Ini tradisi yang perlu kami kekalkan hampir 100 tahun lalu dan sudah pasti menjadi pusaka turun temurun hingga generasi akan datang bagi meneruskan legasi nenek moyang,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, beduk diketuk 10 kali sebagai menandakan masuknya waktu solat dan pada bulan Ramadan, alat itu diketuk sekali menandakan waktu imsak.
“Beduk atau tabuh juga diketuk apabila berlaku kematian dalam kalangan warga kampung ini. Jika lelaki, tabuh diketuk tujuh pusingan dengan setiap pusingan diketuk sebanyak tujuh kali.
“Jika kematian berlaku dalam kalangan wanita, sebanyak lima pusingan dengan setiap pusingan diketuk lima kali. Sekiranya kematian membabitkan kanak-kanak, tabuh akan diketuk tiga pusingan dengan setiap pusingan diketuk sebanyak tiga kali,” katanya.
Menurutnya, suatu masa dahulu, beduk turut digunakan untuk memaklumkan jika berlaku kecurian dan kekecohan di kampung ini.
“Apabila dibunyikan, penduduk kampung akan berkumpul di masjid dan bekerjasama menangani masalah tersebut,” katanya. – UTUSAN











