WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan penamatan status sah sementara lebih setengah juta pendatang dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela.
Menurut notis dikeluarkan kerajaan persekutuan, pendatang yang tidak memenuhi syarat sah untuk menetap di Amerika Syarikat (AS) diarahkan meninggalkan negara itu sebelum permit kerja dan perlindungan pengusiran ditarik balik pada 24 April.
Seramai 530,000 pendatang dibawa masuk ke AS melalui proses tajaan era bekas Presiden Joe Biden yang dikenali sebagai CHNV, bertujuan membuka laluan penghijrahan secara sah.
Trump menggantung program itu sebaik sahaja beliau mengambil alih jawatan.
Program itu dilancarkan di bawah pentadbiran Biden pada 2022, bermula dengan warga Venezuela sebelum diperluaskan ke negara lain.
Ia membolehkan pendatang dan ahli keluarga terdekat terbang ke AS jika mempunyai penaja warga Amerika dan menetap selama dua tahun di bawah status imigresen sementara dikenali sebagai parol.
Pentadbiran Biden berpendapat bahawa CHNV akan membantu mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin di sempadan selatan AS.
Namun, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri menuduh pentadbiran terdahulu menipu rakyat Amerika.
Agensi itu mendakwa, pegawai Biden memberi peluang kepada pendatang untuk bersaing mendapatkan pekerjaan dan menjejaskan rakyat tempatan, memaksa pegawai kerajaan menyokong program tersebut walaupun terdapat kes penipuan.
Bagaimanapun, notis setebal 35 muka surat dalam Daftar Persekutuan menyatakan sebahagian daripada pendatang di bawah program CHNV mungkin dibenarkan untuk terus tinggal di AS berdasarkan kes tertentu.
Trump juga sedang mempertimbangkan untuk membatalkan status sah sementara kira-kira 240,000 warga Ukraine yang melarikan diri ke AS semasa konflik dengan Russia.– BBC











