KUALA LUMPUR: Kira-kira 73 peratus pengguna perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) terdiri daripada golongan B40 iaitu mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Kajian oleh Pasukan Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOBTF) melibatkan 21,070 pengguna aktif BNPL di Malaysia mendedahkan, kaedah itu menjadi sumber utama pembiayaan peribadi bagi 69 peratus pengguna yang kebanyakannya tidak mempunyai akses kepada kredit bank atau pinjaman lain.
Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, walaupun majoriti pengguna BNPL adalah daripada golongan berpendapatan rendah, dua pertiga daripada mereka masih mempunyai lebihan wang selepas semua perbelanjaan.
Beliau berkata, kajian mendapati 21 peratus pengguna terdiri daripada golongan M40 iaitu yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000), manakala hanya enam peratus adalah daripada golongan T20 (RM10,000 ke atas).
“Pengguna BNPL menunjukkan disiplin kewangan yang baik, dengan 88 peratus membayar ansuran tepat pada masanya, manakala kurang daripada satu peratus gagal melunaskan hutang mereka secara keseluruhan.
“Dari segi pengetahuan kewangan, 79 peratus pengguna menilai tahap kesedaran kewangan mereka sebagai ‘memuaskan’ atau ‘baik’ dan 83 peratus yakin mereka boleh mengawal penggunaan BNPL tanpa menghadapi masalah pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat mengenai RUUKP 2025 di Bank Negara Malaysia, di sini, hari ini.
Abu Hassan berkata, hasil kajian itu membuktikan BNPL bukan sekadar pilihan bagi mereka yang terdesak, tetapi juga sebagai alat pengurusan kewangan bagi mereka yang memahami risiko dan tanggungjawab penggunaannya.
“Masyarakat sering menganggap BNPL membawa kepada hutang berlebihan, tetapi data menunjukkan majoriti pengguna tetap mampu mengawal kewangan mereka dan membayar ansuran tepat pada masanya,” katanya.
Dalam kalangan pengguna BNPL, 56 peratus menggunakan perkhidmatan ini untuk membeli barangan keperluan, sementara 12 peratus menggunakannya secara eksklusif untuk barangan bukan keperluan.
Dari segi kekerapan penggunaan, 38 peratus menggunakan BNPL hanya sekali sebulan, 39 peratus menggunakannya dua hingga lima kali sebulan dan 22 peratus menggunakannya lebih daripada lima kali sebulan.
Sebahagian besar pengguna juga mengawal jumlah akaun BNPL mereka, dengan 87 peratus hanya mempunyai satu atau dua akaun pada satu masa.
Abu Hassan berkata, populariti BNPL semakin meningkat di Malaysia dengan 95 peratus pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan ini kerana ia mudah digunakan, tidak memerlukan penyemakan kredit dan menawarkan fleksibiliti pembayaran.
“Malah, 98 peratus pengguna menganggap BNPL sebagai kaedah pembayaran yang mudah diuruskan serta menjadi pilihan utama bagi mereka yang memerlukan akses segera kepada pembiayaan peribadi.
“Industri BNPL dijangka terus berkembang dengan 5.1 juta akaun aktif setakat Disember 2024 dan penyertaan penyedia baharu seperti TikTok PayLater dan LazPayLater,” katanya. – UTUSAN










