Upacara pengebumian Hassan Nasrallah pada 23 Februari

Upacara pengebumian Hassan Nasrallah pada 23 Februari

GAMBAR Hassan Nasrallah semasa pengebumian anggota Hezbollah.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah mengumumkan upacara pengebumian bekas pemimpinnya, Hassan Nasrallah, akan diadakan pada 23 Februari ini, beberapa bulan selepas beliau terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu negara Lubnan tersebut.

Nasrallah, yang menerajui Hezbollah sebagai Setiausaha Agung selama lebih tiga dekad, maut pada 27 September lalu ketika Israel meningkatkan serangan udara ke atas sasaran kumpulan itu di pinggir selatan Beirut.

Penggantinya, Naim Qassem, dalam ucapan yang disiarkan secara langsung semalam, berkata Nasrallah terbunuh dalam keadaan yang mencabar, sehingga menyebabkan kumpulan itu terpaksa melaksanakan pengebumian sementara mengikut tradisi agama.

Qassem menjelaskan Hezbollah kini memutuskan untuk mengadakan perarakan pengebumian besar dengan kehadiran awam yang ramai bagi Nasrallah dan Hashem Safieddine, seorang lagi pegawai kanan Hezbollah yang terbunuh dalam serangan Israel hampir seminggu selepas kematian Nasrallah.

Beliau turut mengesahkan buat kali pertama Safieddine sebenarnya telah dipilih sebagai pengganti Nasrallah sebelum dibunuh.

Justeru, Safieddine akan dikebumikan dengan gelaran Setiausaha Agung.

Menurut Qassem, Nasrallah akan dikebumikan di pinggir Beirut manakala Safieddine akan dikebumikan di kampung halamannya di Deir Qanoun, selatan Lubnan.

Hezbollah mengumumkan pada 29 Oktober lalu Qassem, yang sebelum ini merupakan timbalan ketua kumpulan itu, telah dipilih sebagai pemimpin baharu setelah kehilangan ramai komander kanan dalam serangan Israel.

Sementara itu, gencatan senjata yang dipersetujui pada akhir November lalu menetapkan tempoh 60 hari bagi Israel berundur dari selatan Lubnan, Hezbollah menarik keluar pejuang dan senjatanya dari kawasan tersebut, serta tentera Lubnan mengambil alih kawalan.

Bagaimanapun, tempoh itu dilanjutkan bulan lalu sehingga 18 Februari, dengan Israel didakwa melanggar perjanjian dengan enggan berundur dari Lubnan dan terus melancarkan serangan udara secara berselang.

Israel pula menuduh Hezbollah sebagai pihak yang melanggar perjanjian tersebut.

Hezbollah menghadapi cabaran besar selepas kumpulan itu membuka medan perang menentang Israel pada Oktober 2023 bagi mengurangkan tekanan ke atas sekutunya, Hamas, di Gaza.

Pertempuran rentas sempadan selama beberapa bulan itu mengorbankan ramai anggota dan pemimpin utama Hezbollah akibat serangan Israel.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN