KUALA NERUS: “Baru dua minggu menarik nafas lega setelah hakisan berkurangan, namun tiga hari lepas ombak semakin kuat menyebabkan batu-batu besar yang diletakkan sebagai benteng sementara runtuh dan ada yang dihanyutkan arus ke laut.”
Itu luahan Mohd Yazit Idris, 66, pemilik banglo berwarna biru bernilai RM600,000 di sini, selepas kediaman dibina sebagai tanda cinta kepada isterinya itu kini kembali berisiko runtuh akibat hakisan pantai.
Katanya, hakisan dijangka semakin teruk beberapa minggu lagi memandangkan fenomena ombak besar belum berakhir.
“Saya masih cuba berfikiran positif banglo ini masih mampu diselamatkan, namun sudah tentu memerlukan bantuan agensi kerajaan untuk meneruskan projek pembinaan benteng pemecah ombak.
“Difahamkan, projek itu akan disambung selepas Monsun Timur Laut berakhir sekitar Mac ini. Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turun padang meninjau keadaan kawasan hakisan dan saya berharap projek ini mampu menjadi penyelamat banglo ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Banglo tersebut tular dalam media sosial sejak Disember lalu kerana pembinaannya adalah tanda cinta kepada isteri, namun diancam hakisan dan berisiko runtuh bila-bila masa.
Mohd. Yazit berkata, dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan banglo itu mengikut pandangan dan saranan pelbagai pihak.
“Buat masa ini, saya akan terus tambak tanah dan batu di bahagian yang kritikal hasil wang derma kawan-kawan, saudara mara dan orang ramai.
“Semangat saya tidak luntur kerana ramai pakar mengatakan masalah hakisan di kawasan ini masih boleh diatasi.
“Insya-Allah saya terus berusaha gunakan sumber kewangan yang ada untuk memastikan banglo ini bertahan sementara projek pembinaan benteng pemecah ombak disambung semula,” katanya. – UTUSAN











