KEMAMAN: Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dipukul di pasar pagi berhampiran Padang Astaka Chukai di sini, berharap kesihatannya bertambah baik selepas pulang dari mengerjakan umrah.
Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang berkata, dia dijadual berangkat ke tanah suci pada pukul 2.30 pagi ini.
“Saya berharap dapat diberikan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan umrah dan mahu berdoa di tanah suci agar Allah berikan kesihatan yang bertambah baik untuk saya dan ahli keluarga saya.
“Saya juga berharap dikurniakan umrah yang mabrur dan semoga Allah kabulkan segala doa saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili, di sini, sebelum bertolak ke ibu negara, kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Bapa kepada lima anak itu berkata, dia teruja menunaikan umrah buat kali pertama yang ditaja syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd.
“Ini merupakan kali pertama saya ‘terbang’ bukan hanya untuk menunaikan umrah, malah kali pertama saya ke luar negara.
“Saya minta orang ramai turut mendoakan perjalanan saya dan dua anak ke umrah selamat dan dipermudah segala urusan kami,” katanya yang dijadualkan pulang pada 8 Mac ini.
Ahmad Nor Al Faizan berkata, pada awalnya dia sepatutnya ditemani isteri, Faridah Abdul Karim, 44, dan anaknya, Mohd Fakhrie, 19, namun disebabkan beberapa kekangan, dia ditemani anak kedua dan anak keempatnya, Nurul Farhana, 19, dan Ahmad Faris, 10.
Sementara itu, Nurul Farhana berkata, dia gembira dan teruja dapat bersama dengan bapanya menunaikan umrah.
“Alhamdulillah, di sebalik rezeki Abah yang dapat tajaan, turut terselit rezeki saya. Memang tak sangka dapat menunaikan umrah di usia yang muda dan umrah ini pula ditaja pihak yang baik hati,” katanya.-UTUSAN.