Sarawak iktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974

Sarawak iktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sarawak meng­iktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai Akta Per­sekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan peng­ope­rasian industri petroleum di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada masa sama Petronas juga menerima peranan Petroleum Sarawak (Petros) sebagai agregator gas di Sarawak dan bersedia untuk bekerjasama di ne­geri Bumi Kenyalang itu.

Katanya, persetujuan itu di­capai dalam perbincangan lima perkara mengenai tuntutan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas pada 7 Januari lalu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Kata Azalina, Petronas dan anak-anak syarikatnya juga ti­dak perlu dilesenkan tidak tertakluk kepada prosedur tam­bahan melaksanakan peng­­operasian petroleum di Sa­rawak selain yang diperuntukkan dalam Akta 144.

“Semua komitmen perjanjian sedia ada antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petros berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah, perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa perubahan.

“Ini adalah semangat kerjasama sepenuhnya antara Petronas dan Petros dalam semua urusan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung terma penyelesaian antara Petronas dengan kerajaan Sarawak berkenaan tuntutan hak negeri itu atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, semua komitmen perjanjian sedia ada yang dimasuki antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petroas berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah dengan ia perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa sebarang perubahan.

“Semangat kerjasama sepenuhnya di antara Petronas dan Petroas dalam semua urusan.

“Kerajaan Persekutuan, Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak, Petros kini sedang memperhalusi beberapa perkara termasuklah dari segi implikasi perundangan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai pindaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) bagi mengelak campur tangan eksekutif dalam pelantikan hakim, Azalina berkata, kerajaan belum menerima cadangan rasmi daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk meminda akta tersebut.

Katanya, kerajaan mengambil perhatian akan cadangan daripada pelbagai pihak agar Akta 695 dipinda.

Walau bagaimanapun, kata beliau, perkara tersebut memerlukan pemerhatian mendalam terlebih dahulu oleh kerajaan memandangkan ia melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sebarang cadangan pindaan kepada Akta 695 akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang berkepentingan.

“Setakat ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang merupakan sebuah badan bebas belum lagi mencadangkan secara rasmi kepada kerajaan berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta 695,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×