KOTA BHARU: Polis sudah mengenal pasti dua suspek di dalam video tular yang bertindak memukul seorang lelaki di Taman Cherang, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek itu merupakan individu berusia 40-an dan bawah 20 tahun.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.
Mohd. Rosdi memberitahu, kelmarin pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 3 minit 28 saat yang memaparkan kejadian seorang individu telah dipukul oleh dua lelaki.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu berlaku pada Jumaat.
“Selain itu, kita juga akan memanggil semua suspek yang terlibat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial berkait video berdurasi 3 minit 28 saat yang memaparkan dua lelaki telah bertindak memukul seorang individu.-UTUSAN