PETALING JAYA: Pengambilan guru dua kali setahun oleh Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memberi keutamaan kepada subjek kritikal bagi memastikan masalah kekurangan guru dapat diatasi secara efektif.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, keberkesanannya bergantung kepada jumlah guru yang diambil serta sejauh mana ia memenuhi keperluan sebenar di sekolah-sekolah.
Beliau berkata, subjek-subjek kritikal tersebut adalah bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Sejarah.
Tambahnya, langkah itu juga penting untuk memastikan nisbah guru dan murid seimbang di kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Sebagai contoh, pada 2024, KPM menawarkan kuota pengambilan seramai 6,300 calon bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) untuk menampung kekurangan guru yang direkodkan.
“Ini menunjukkan usaha serius KPM, namun pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan pengambilan ini benar-benar mencukupi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, pengambilan guru baharu dua kali setahun akan dilaksanakan KPM bermula tahun ini.
Ia antara tujuh strategi kementerian bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara berbanding pengambilan sekali setahun sebelum ini.
Fouzi berkata, sistem pengambilan guru dua kali setahun sudah memadai memandangkan terdapat proses melibatkan pelbagai peringkat, termasuk mesyuarat pengurusan dan perancangan, pelaksanaan temu duga serta proses penempatan yang memakan masa.
“KPM perlu memantau dengan teliti keluar masuk guru dalam sistem dan melakukan unjuran komprehensif bagi memastikan pengambilan yang dilakukan memenuhi keperluan semasa,” ujarnya.
Fouzi turut mendedahkan pihaknya sering menerima rungutan daripada guru berkaitan isu kekurangan tenaga pengajar sehingga menyebabkan guru sedia ada terpaksa menanggung beban kerja lebih tinggi.
“Dalam banyak kes, isu kekurangan guru ditampung oleh guru yang masih ada di sekolah. Namun, apabila mereka kerap terlibat dalam aktiviti luar seperti mesyuarat dan program rasmi, ia menambah tekanan kepada rakan sekerja yang terpaksa menggantikan kelas mereka.
“Ada guru tiada masa untuk berehat kerana perlu menampung kelas yang ditinggalkan akibat aktiviti luar ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, KPM telah melaksanakan pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru terutama dalam subjek teras.
Katanya, guru lantikan Contract of Service (CoS) juga dipersiapkan melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Peruntukan guru MySTEP (Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia) bagi menggantikan guru yang bercuti panjang seperti cuti bersalin, cuti haji dan cuti sakit kritikal.
“KPM juga telah menggariskan tujuh langkah segera untuk meringankan beban guru, termasuk penambahbaikan sistem penyampaian dan pengurusan tugas,” katanya. – UTUSAN










