JOHOR BAHRU: Polis giat mengesan pemandu kereta mewah jenis Audi TT yang ‘lesap’ selepas terlibat dalam kemalangan lima kereta di Jalan Serigala, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 7.15 malam itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan serius.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Audi TT dari arah Jalan Dato’ Sulaiman bertembung dengan kereta Proton Persona dari arah Jalan Harimau.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Audi TT dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiga lagi kenderaan yang sedang diletakkan di tepi jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pemandu Audi TT juga didapati tiada di lokasi kejadian dan masih belum tampil membuat laporan kemalangan.
Justeru, pihak polis meminta pemandu yang terlibat hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Hasrin Abd. Rahman menerusi talian 019-7767756.