PARLIMEN: RM85 juta geran perkasa PMKS adaptasi perniagaan digital

PARLIMEN: RM85 juta geran perkasa PMKS adaptasi perniagaan digital

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM85 juta bantuan geran diperuntuk tahun ini bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan geran padanan itu melalui Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) serta Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp. 

Jelasnya, bagi 2024, seramai 226 usahawan telah menerima geran BAP berjumlah RM26.31 juta dan seramai 222 usahawan juga telah menerima geran BEEP berjumlah RM34.4 juta. 

“Kedua-dua program ini akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM55 juta bagi program BAP yang menyediakan pembiayaan secara hibrid dalam bentuk geran dan pinjaman mudah dengan nisbah 40:60, iaitu 40 peratus geran dan 60 peratus pinjaman mudah.

“Manakala program BEEP pula melibatkan peruntukan RM30 juta bagi tahun 2025 disediakan dalam bentuk geran padanan dan pinjaman melalui Penyedia Pembiaya yang dilantik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) mengenai bantuan geran kepada usahawan PMKS untuk mengadaptasi teknologi digital serta latihan ditawarkan untuk memperkasa golongan berkenaan dalam penggunaan platform digital.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, program latihan dan bimbingan juga dilaksanakan, bertujuan memperkasa usahawan PMKS dalam penggunaan platform digital bagi tahun ini dan 2024.

“Antaranya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menerapkan elemen digitalisasi di dalam program bimbingan keusahawanan seperti penggunaan platform penghantaran makanan, sistem ‘Point of Sales’ dan pemasaran menggunakan platform digital.

“Selain itu, program Pembudayaan dan Pemerkasaan Keusahawanan Penjaja dan Peniaga Kecil bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjaja serta peniaga kecil dalam menjalankan transaksi perniagaan secara digital.

“Platform MyMall pula menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma bagi produk atau perkhidmatan serta merangkumi latihan ‘onboarding’ kepada usahawan berkenaan serta Program N-GENE oleh PROTÉGÉ, iaitu latihan bagi membudayakan kemahiran keusahawanan dan memberi pendedahan untuk mengembangkan perniagaan melalui latihan dalam talian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya