KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan mengkaji semula pelaksanaan Pakej P-Hailing Rahmah bagi memastikan manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kajian semula itu dilakukan selepas pihaknya mendapati wujud kelemahan dalam sistem penyampaian maklumat mengenai inisiatif berkenaan kepada penunggang.
“Sewaktu pelaksanaan tahun lalu, perbincangan sudah diadakan antara syarikat telekomunikasi (telco) dan syarikat p-hailing, namun maklumat tersebut tidak sampai sepenuhnya kepada penunggang.
“Itu yang saya dapati, dan ke hadapan, mungkin kita akan kaji semula pelaksanaannya kerana manfaatnya tidak sampai sepenuhnya kepada penunggang,” katanya pada sidang akhbar Program Temu Anak Muda Lembah Pantai di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, semua penunggang p-hailing yang layak akan menerima Pakej P-Hailing Rahmah merangkumi pakej data istimewa khas yang mula diperkenalkan pada 23 Januari 2024.
Difahamkan, pakej tersebut dijangka memberi manfaat kepada hampir 200,000 penunggang p-hailing berdaftar daripada 16 syarikat penyedia perkhidmatan di seluruh negara.
Sementara itu, Fahmi berkata, inisiatif tersebut merupakan tanda penghargaan kerajaan kepada penunggang p-hailing yang memainkan peranan penting dalam industri penghantaran.
“Hasrat utama kerajaan dalam menyediakan Pakej P-Hailing Rahmah adalah untuk membantu penunggang, bukan hanya kepada syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, perlu ada satu pendekatan baharu supaya maklumat dan manfaat pakej tersebut dapat disampaikan terus kepada penunggang tanpa melalui syarikat p-hailing.
“Kami mahu memastikan bantuan ini benar-benar sampai kepada mereka yang layak. Oleh itu, saya akan meminta sedikit kajian semula bagi mengenal pasti jumlah penunggang yang terlibat.
“Mungkin kita boleh mencari jalan untuk menyalurkan manfaat ini terus kepada penunggang tanpa melalui syarikat. Saya juga akan meminta pihak kementerian untuk meneliti perkara ini dengan lebih lanjut,” ujarnya.