PETALING JAYA: Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) menolak dan mengutuk rancangan pemindahan dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap rakyat Palestin.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, rancangan itu merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan maruah asas rakyat Palestin.
Kata beliau, pemindahan paksa mana-mana komuniti adalah tidak boleh diterima dan tindakan itu langsung mengabaikan hak sejarah mereka, seterusnya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.
Katanya, pengambilan wilayah secara paksa oleh mana-mana negara ke atas wilayah yang berdaulat seperti yang diumumkan oleh Trump adalah pelanggaran langsung terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip integriti wilayah.
“Tindakan sebegini merosakkan hak negara untuk penentuan nasib sendiri dan kedaulatan, serta menambah ketidakstabilan dan konflik.
“Rakyat Palestin mempunyai hak mutlak terhadap tanah air mereka dan penentuan nasib sendiri. Sebarang usaha untuk memindahkan atau mengusir mereka secara paksa mesti ditentang secara tegas oleh masyarakat antarabangsa. Rancangan ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga memperdalam penindasan dan penderitaan terhadap rakyat Palestin yang telah lama mengalami kekejaman,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Izzah berkata, MAHAR berdiri teguh dalam solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk keadilan, kedaulatan dan keamanan.
“Kami menyeru pemimpin dunia, badan antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan pemindahan paksa ini dan menegakkan prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
“Pemindahan paksa rakyat Palestin bukan hanya satu isu untuk mereka sahaja—ia adalah krisis kemanusiaan yang harus ditentang oleh seluruh dunia. Kita tidak boleh membiarkan sejarah mengulangi babak gelapnya, dan menjadi tanggungjawab bersama kita untuk memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.
MAHAR tegas beliau, menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan sokongan terhadap Palestin, menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang bertanggungjawab atas kezaliman ini, serta berusaha ke arah masa depan di mana rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, selamat, dan bebas di tanah air mereka yang sah. – UTUSAN










