Kelantan sokong siasat semula kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris - Utusan Malaysia

Kelantan sokong siasat semula kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris

MOHAMED Fadzli Hassan (kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada jurulatih KAWE pada Majlis Perasmian Grand Final Kejohanan Sepak Takraw Piala Timbalan Menteri Besar Kelantan 2024, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kes kematian pelajar mahaad tahfiz di Kok Lanas di sini, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan dalam keadaan tergantung di dalam sebuah tandas kira-kira 12 tahun lalu, wajar dibuka semula bagi mencari keadilan buat mangsa sekiranya ada penemuan baharu termasuk keputusan inkues.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri menyokong tindakan keluarga bekas pelajar mahaad tahfiz itu yang mendesak siasatan semula dilakukan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama penuh dalam siasatan kes tersebut dan pihaknya akur apabila polis memutuskannya tiada unsur jenayah dan ditutup, sebelum keputusan Mahkamah Koroner dikeluarkan.

“Kita menyokong sebab kita mahu keadilan. Kalau ada yang bersalah, kita mahu pihak terbabit dihukum. Apa yang berlaku sekarang ini adalah keputusan inkues datang kemudian, iaitu selepas polis memutuskan kes ini tiada unsur ketiga,” katanya selepas perasmian penutup Grand Final Kejohanan Sepak Takraw Piala Timbalan Menteri Besar Kelantan Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, beliau mengikuti rapat perkembangan kes tersebut termasuk niat keluarga mangsa dan bersimpati dengan mereka.

“Semasa kejadian, saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Malah saya sendiri hadir pada upacara solat jenazah Allahyarham Wan Ahmad Faris. Ketika itu, pihak sekolah dan kerajaan negeri tidak tahu sama ada ia dianggap kes mati mengejut atau mempunyai unsur jenayah,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, ibu Allahyarham Wan Ahmad Faris, Ruhani Hussin, 70, bersama bapanya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 74, mendesak siasatan semula dijalankan terhadap kes kematian anak sulung mereka.

Ruhani berkata, dia yakin Wan Ahmad Faris dibunuh dan tetap memperjuang nasib anaknya walaupun sudah 12 tahun berlalu, terutama selepas Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan kematian mangsa adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti pada Jun 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN