KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan berjaya mengurangkan kadar keciciran murid secara signifikan dalam tempoh tahun 2020 hingga 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, statistik terbaharu itu menunjukkan kadar keciciran murid di peringkat rendah menurun daripada 0.10 peratus pada 2020 kepada 0.06 peratus tahun 2024.
Sementara itu, katanya, kadar keciciran di peringkat menengah turut menurun daripada 1.333 peratus pada 2020 kepada 0.654 peratus tahun ini.
“Kejayaan ini hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif KPM seperti program intervensi awal untuk mengenal pasti pelajar berisiko keciciran,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang meminta KPM menyatakan pelan untuk menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan pedalaman dan golongan B40 yang menghadapi cabaran dalam pembelajaran.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, kerajaan turut melaksanakan inisiatif Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) di kawasan pedalaman dan luar bandar.
“Konsep ini diperkenalkan sebagai salah satu usaha bagi memastikan pelajar dapat kekal bersekolah sehingga ke peringkat menengah, sekali gus mengurangkan kadar keciciran” katanya.
Menjawab isu penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah yang dibangkitkan oleh Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), Kah Woh mengakui terdapat 19,450 murid sekolah dikesan terlibat dalam kegiatan penggunaan rokok elektronik tersebut.
Kata beliau, kementeriannya mendapati wujud trend peningkatan dalam isu penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah.
Kata beliau, perkara tersebut didapati berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
“Bagi vape kami tidak menafikan bahawa menandakan satu trend yang meningkat. Pada 2024, sebanyak 19,450 murid dilaporkan terbabit.
“Ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM,” katanya.
Bagaimanapun, kata Kah Woh, trend merokok dalam kalangan murid sekolah pula menunjukkan penurunan iaitu 3,704 orang dikesan terlibat dalam kegiatan merokok.
“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.
“Untuk semua kes terbabit ini juga, kementerian melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada,” ujarnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa perlu membantu Kementerian Pendidikan supaya kesedaran tentang keburukan bahaya rokok elektronik dapat ditingkatkan. – UTUSAN










