Ibu, empat anak rentung di Umbai

Ibu, empat anak rentung di Umbai

KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Jasin, Melaka yang mengorbankan lima nyawa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, awal pagi semalam mengorbankan lima beranak termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 13 tahun.

Tragedi menyayat hati yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi berkenaan turut mengorbankan ibu kanak-kanak malang itu berusia 35 tahun dan kediaman mereka yang dibina separa batu dan kayu turut musnah

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, polis menerima laporan berhubung insiden pada pukul 1.45 pagi dan mendapati seorang lelaki yang juga suami dan bapa kepada semua mangsa terselamat dalam kebakaran tersebut.

Katanya, kebakaran itu dipercayai berlaku ketika mangsa lelaki yang terselamat sedang tidur.

“Siasatan awal mendapati Muhammad Khairuddin Saari, 35, sedang tidur sebelum dikejutkan isterinya, Laila Mustapa, 35, memaklumkan rumah mereka terbakar. Dia cuba menyelamatkan keluarganya namun gagal kerana pergerakannya terbatas.

“Empat anaknya iaitu dua lelaki dan dua perempuan ditemukan di ruang tamu, bahagian bawah berhampiran pintu tengah rumah. Ibu mereka ditemukan di ruang atas atau serambi.

“Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung 100 peratus,” katanya.

Tambah Mohamad Rusli, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati, pintu jeriji dalam keadaan berkunci dan polis percaya semua mangsa yang maut gagal menyelamatkan diri.

Ujarnya, berdasarkan maklumat awal, wanita berkenaan dilaporkan hamil, namun polis perlu mendapatkan pengesahan pihak perubatan terlebih dahulu.

“Lelaki yang terselamat itu mengalami kemalangan jalan raya Januari lalu dan kakinya patah, namun ketika kejadian dia sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.

“Mayat kelima-lima mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat manakala lelaki yang terselamat dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, kita masih menunggu laporan forensik daripada bomba,” jelasnya.

Dalam pada itu, kesemua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Laila Fathinah Mustapa, 35, bersama empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 5; dan Izz Danish Fathi yang berusia dua tahun.

Terdahulu, seorang saksi, Ab. Kahar Ahmad, 70, berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersebelahan rumah mangsa terdengar suara riuh-rendah, sebelum terlihat api keluar dari tingkap kediaman itu.

Katanya, suami mangsa juga menjerit menyuruh keluarganya berlari keluar menyelamatkan diri.

“Saya cuba memadamkan api, namun gagal sebelum meminta anak menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Saya dengar suara mangsa lelaki menjerit minta isteri dan anak-anaknya keluar selamatkan diri, memang ada bunyi tapak kaki orang berlari-lari tetapi tidak keluar.

“Apabila saya keluar rumah saya nampak suaminya sudah tersandar di pokok di pekarangan, isteri serta anak-anaknya tiada kerana mereka terperangkap disebabkan semua pintu mempunyai jeriji dan berkunci,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×