LANGKAWI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan platform jualan dalam talian menghentikan penjualan gula-gula kenyal yang menyebabkan kematian seorang budak lelaki baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memastikan pengiklanan gula-gula jenis gummy tersebut dihentikan.
“Kita mengarahkan platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok untuk menurunkan iklan yang mempromosikan gula-gula tersebut.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negara turut diarahkan melaksanakan penguatkuasaan di premis fizikal dan merampas produk yang masih dijual,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran 1,000 Hari Pertama Kehidupan: Kajian Longitudinal di Langkawi (LLS) dan Sistem Pengurusan Data Klinik Berasaskan Awan (CCMS) di sini, semalam.
KKM baru-baru ini mengeluarkan kenyataan gula-gula gummy dijual tidak memenuhi keperluan pelabelan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
Kenyataan itu memaklumkan KKM tidak mengawal bentuk atau saiz sesuatu makanan di bawah peraturan tersebut kecuali bagi ‘konfeksi jeli terkawal’ dengan saiz dan bentuk yang berdiameter kurang
atau sama dengan 45 milimeter.
Produk ini perlu dilabelkan dengan amaran “BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK” dan peringatan “TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH UMUR 3 TAHUN”.
Langkah ini bertujuan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak daripada risiko bahaya yang boleh berlaku akibat produk tersebut.
Baru-baru ini, seorang murid di Pulau Pinang, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia akibat tercekik gula-gula gummy berbentuk mata.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang Selasa minggu lalu, mangsa dikatakan telah membeli dua biji gula-gula gummy di sebuah gerai sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebuah sekolah kebangsaan (SK) di Sungai Dua, Butterworth.
Mangsa dilaporkan tercekik semasa menikmati makanan ringan itu dan mengalami kesukaran untuk bernafas namun sempat berjalan ke arah gurunya sebelum rebah secara tiba-tiba. – UTUSAN










