Fahmi ucap takziah kepada keluarga arwah Muhammad Basir - Utusan Malaysia

Fahmi ucap takziah kepada keluarga arwah Muhammad Basir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia petang semalam akibat masalah kesihatan.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau pernah menziarahi Muhammad Basir yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak tabung itu diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.

“Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir Abu Bakar.

“Saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya.

Terdahulu, khabar duka itu dimaklumkan oleh anak saudara beliau yang dikenali sebagai Wanie Mat Noor menerusi akaun Facebooknya semalam.

“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat bapa saudara saya, Muhammad Basir yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi di wad Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Serdang,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Taming Jaya, Cheras kira-kira 8 pagi ini untuk dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10, Cheras.

Bekas pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia) itu meninggalkan tiga anak iaitu Nur Iman Zahra, 15, Nur Iman Damia, 13, dan Muhammad daniel Iman, 10, yang kini menjadi yatim piatu.

Isterinya, Nor Azlina Jaafar, yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru pada 17 Oktober 2023.

Beberapa hari lalu, Muhammad Basir juga kehilangan ayah mertuanya (bapa Noor Azlina) yang menghembuskan nafas sehari selepas pulang daripada melawat Allahyarham di Hospital Serdang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN