KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pembekal pastri dan pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi tuduhan guna logo halal bagi produk makanan yang tidak sepatutnya termasuk sandwich ham, dua minggu lalu.
Pengarah Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd., Ewe Sarn Yeun, 65, turut didakwa di Mahkamah Sesyen berlainan bagi pertuduhan menggunakan logo halal dan cap dagang berdaftar pada 366 unit sandwich tanpa kelulusan.
Sarn Yeun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya dan syarikat itu di hadapan Hakim Dr. Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, Sarn Yeun dan syarikatnya didakwa menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo Halal Malaysia bagi produk yang salah membabitkan 366 unit sandwich.
Sandwich itu ialah 74 unit Egg Mayo Sandwich, 66 unit Ham & Cheese Sandwich, 56 unit Chili Crabstick Sandwich, 50 unit Mixed Tuna Sandwich, 43 unit Mixed Potato Sandwich dan 77 unit Mixed Sandwich.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu di Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd., No. 20, Jalan PJJ 347, Sunway Damansara di sini.
Oleh demikian, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(ii) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikatnya pula didakwa di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, jika sabit kesalahan.
Pada masa, tarikh dan tempat sama, Sarn Yeun dan syarikatnya juga didakwa menggunakan logo halal dan cap dagang berdaftar tanpa pada 366 unit sandwich tanpa kelulusan.
Sarn Yeun dan syarikatnya didakwa menawarkan untuk membekalkan 366 unit produk makanan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.
Ia bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.
Lelaki itu didakwa di bawah Perenggan 8(b) Perintah sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) Perintah sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikat itu pula didakwa mengikut Perenggan 8(A) Perintah Perihal
Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Shafiq Mahadi menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira ia membabitkan kes berkepentingan awam.
Shafiq Mahadi turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya pada setiap bulan sehingga kes selesai.
“Kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini adalah rentetan daripada video yang tular di media sosial dan syarikat serta pengarah yang dipertuduhkan ini adalah pembekal kepada barangan yang menjadi isu.
“Sewajarnya, pertuduhan ini memberi mesej kepada pembekal lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh dan syarikat terbabit memohon jaminan sebanyak RM120,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira kerjasama dan reputasi bagus anak guamnya yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
“Isu kepentingan awam yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan bukan terhadap tertuduh sebaliknya terhadap satu syarikat lain yang tular di dada akhbar dan media sosial,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr. Shahliza dan Noor Ruzilawati membenarkan jaminan sebanyak RM130,000 dikenakan terhadap Sern Yeun dengan tiga orang penjamin warganegara tempatan beserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan sebelum menetapkan 5 Mac hadapan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










