KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat bermula 3 Februari ini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik untuk mendapat kelulusan Ahli-ahli Parlimen.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, langkah tersebut secara tidak langsung menjadikan Kerajaan Perpaduan lebih ke hadapan dalam menerajui perubahan berbanding pentadbiran sebelum ini.
Katanya, usaha itu perlu disokong semua pihak tidak mengira kerajaan atau pembangkang bagi menjamin ketelusan.
“RUU pendanaan politik perlu disegerakan kerana ia merupakan langkah yang akan menyelamatkan semua pihak daripada tanggapan negatif. Rakyat juga dapat melihat bagaimana tatakelola dan nilai integriti itu dapat ditunjukkan kerana bagi saya, kita mesti mempunyai ‘padang’ yang sama dalam apa jua tindakan.
“Kita mesti pastikan kempen pilihan raya itu bukan tertumpu kepasa siapa yang banyak duit tetapi nak fahamkan kepada rakyat apa yang kita lakukan.
“Sudah pasti prestasi kita dan kerajaan hari ini dapat diukur sekiranya RUU pendanaan politik dapat dirungkai dengan pandangan-pandangan yang lebih baik,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan perlu meneruskan semula pembentangan RUU Akta Pendanaan politik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan pada PRU-16.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme mewajibkan semua parti politik mendedahkan sumber dana yang diperoleh tanpa mengira tujuan pembiayaan sama ada untuk berkempen atau sebarang aktiviti lain.
Perkara ini turut disokong Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub dengan berkata, kerajaan masih mempunyai masa tidak kurang dari tempoh dua tahun untuk dibentangkan dan diluluskan di Parlimen sebelum ia dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menyokong RUU tersebut jika ia dibawa sekali lagi ke Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, ia terserah kepada pihak kerajaan bila mereka akan membentangkannya semula. Tetapi pada saya, kita akan sokong pada perkara yang baik dan sudah pasti kita juga akan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan, bukan hanya beri sokongan semata-mata,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan telah menyediakan draf RUU Akta Pembiayaan Dana Politik, dan ketika itu ke arah peringkat libat urus dengan pemegang taruh.
Katanya, perbincangan telah dilakukan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara sebanyak dua kali berhubung usaha untuk melaksanakan RUU berkenaan. – UTUSAN










