RIYADH: Riyadh kini menawarkan pengalaman bermain ski melalui tarikan baharu di zon Courchevel di Boulevard World yang dibuka sejak Disember lalu.
Pengunjung boleh menikmati sukan musim sejuk itu, sama ada pemula atau pemain ski berpengalaman, di bawah bimbingan jurulatih profesional.
Seorang jurulatih, Marwan Akiki dari Lubnan berkata, mereka bukan sekadar mengajar, tetapi juga mahu mencipta pengalaman yang menyeronokkan.
“Kami di sini untuk melatih dan membantu semua orang belajar bermain ski sambil menikmati pengalaman ini,” katanya.
Zon Courchevel direka khas untuk mencipta suasana santai untuk seisi keluarga, dengan menonjolkan kawasan iglu yang menarik perhatian kanak-kanak dan dewasa serta memberikan suasana seperti kawasan bersalji di Eropah.
Zon Courchevel juga menjadi peluang pertama bagi ramai penduduk Riyadh untuk merasai pengalaman bermain ski dan menikmati salji.
Sebagai langkah untuk memastikan keselesaan pengunjung, pakaian khas yang selesa dan sesuai disediakan agar mereka dapat menikmati aktiviti tanpa bimbang dengan kesejukan.
Setelah puas bermain ski, pengunjung boleh berehat di restoran yang menawarkan pelbagai hidangan dalam suasana selesa.
Selain itu, kedai menjual peralatan dan pakaian salji turut disediakan, daripada jenama antarabangsa yang berkualiti tinggi.
Zon Courchevel juga merancang untuk menganjurkan pelbagai acara dan pertandingan bagi menambah kemeriahan serta mengukuhkan hubungan komuniti di kawasan itu. -AGENSI











