SUBANG JAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengadakan mesyuarat susulan pada minggu hadapan bersama beberapa kementerian lain bagi membangunkan industri perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara menyeluruh.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat itu penting untuk memastikan industri REE berkembang dengan mampan dan mematuhi prinsip kelestarian, selain memberi manfaat besar kepada ekonomi negara.
Kata beliau, mineral berada di bawah bidang kuasa negeri, namun kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan industri REE secara menyeluruh.
“Minggu depan, saya akan mengadakan mesyuarat susulan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, MITI dan MOSTI untuk membangunkan industri REE ini secara menyeluruh.
“SOP kerangka itu pun telah kita siapkan dan semua negeri telah dimaklumkan. Ada negeri yang telah melancarkan SOP tersebut di peringkat negeri manakala ada yang sedang menyesuaikan mengikut keperluan negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Simposium SME ESG START 2025 di Monash University Malaysia, semalam.
Pada 24 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polisi menyekat aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) perlu dihapuskan sekiranya negara berhasrat meneroka REE yang berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, selagi polisi tersebut berkuat kuasa, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan mineral itu tidak akan dapat digubal.
Menurut beliau, ketiadaan SOP yang seterusnya menghalang pengeluaran lesen melombong (ML) itu amat merugikan kerana bahan itu mendapat permintaan tinggi khususnya dalam pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik (EV).
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, usaha Alliance Bank bersama rakan kongsi seperti Monash University Malaysia dan Zurich Malaysia melancarkan edisi kedua laporan tinjauan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) tahunannya bertajuk The Path to Sustainable Impact – Sectoral Insights of Malaysian SMEs memainkan peranan penting dalam memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah kemajuan kelestarian.
Kata beliau, usaha itu amat signifikan memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini dengan PKS dijangka memainkan peranan besar dalam ekonomi dan agenda ESG di rantau ini.
“PKS adalah tulang belakang ekonomi negara dan langkah tersebut penting bagi memastikan Malaysia mencapai cita-cita ESG iaitu meningkatkan daya tahan perniagaan dan membuka peluang di peringkat tempatan serta global.
“Laporan itu juga mendedahkan 60 peratus PKS kini melaksanakan inisiatif ESG dengan sektor pembuatan (69 peratus) dan pembinaan (60 peratus) mendahului sektor penggunaan. Sebanyak 38 peratus PKS pula melaporkan peningkatan hasil lebih 50 peratus manakala 24 peratus mencatatkan penjimatan kos ketara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, bank tersebut akan memberi komitmen yang tinggi dalam memperkasa PKS Malaysia melalui pendekatan 3A iaitu Sokongan, Nasihat dan Jawapan.
Katanya, edisi kedua tinjauan ESG tahunan tersebut memberikan pandangan mendalam tentang cabaran sektor, arah aliran baharu dan bidang untuk pertumbuhan serta penambahbaikan.
“Laporan ini menyediakan garis panduan ESG yang jelas dan mudah diakses untuk menyokong PKS selaras dengan usaha Alliance Bank menjadi The Bank For Life.
“Penemuan ESG 2.0 juga membantu bank membangunkan penyelesaian efektif memenuhi keperluan unik PKS pada setiap peringkat,” katanya. – UTUSAN










