PETALING JAYA: Pas yakin parti itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti berkenaan juga tidak ketandusan pemimpin untuk menjawat jawatan nombor satu itu walaupun timbul pelbagai persepsi terhadap mereka.
Jelas beliau, soal sama ada pemimpin parti itu layak atau sebaliknya bukan isu yang perlu dibangkitkan.
“Siapa-siapa pun boleh (jadi PM), ramai dalam kalangan (pemimpin) Pas yang layak jadi ia bukanlah isu yang berbangkit,” katanya semalam.
Kelmarin, Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin menerusi wawancara dengan akhbar ini berkata, adalah lebih baik untuk negara ini dipimpin oleh Pas dengan mengambil kira suasana dan keadaan sekarang.
Mohd. Amar dalam pada itu berkata, kenyataan Hashim itu hanyalah pandangan peribadi semata-mata dan tidak mewakili Pas.
Katanya, Pas juga tidak pernah mengadakan perbincangan sama ada di peringkat dalaman atau bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) berhubung perkara itu.
“Pada pandangan saya, beliau menyatakan hasratnya sebagai Mursyidul Am. Akan tetapi parti secara rasmi tidak pernah berbincang apa-apa,” jelasnya.
Tambah Mohd. Amar, sebarang perkara berkaitan jawatan Perdana Menteri hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bersama presiden-presiden parti lain.
“Itu amalan kita sebelum ini, bagaimanapun, tiada apa-apa perbincangan tentang isu ini, iia hanya akan diputuskan di peringkat PN,” jelasnya
Dalam perkembangan lain, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap, isu tersebut dibincangkan di peringkat dalaman.
“Saya lebih suka mematuhi adab dan disiplin berjemaah yang menuntut supaya ada (perkara) yang dibincangkan secara terbuka dan ada pula secara tertutup.
“Yang pasti, PN tidak pernah tandus calon pemimpin berwibawa untuk memimpin negara lebih baik daripada kerajaan Pakatan harapan,” jelasnya.- UTUSAN










