Muhyiddin bayar ganti rugi RM1.4 juta kepada Guan Eng

Muhyiddin bayar ganti rugi RM1.4 juta kepada Guan Eng

MUHYIDDIN Yassin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin te­lah membayar ganti rugi RM1.4 juta kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang merupakan syarat penangguhan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini.Pada Disember tahun lalu, Hakim Roz Mawar Rozain memberikan penanggu­han bersyarat terhadap Muh­yid­din dengan kos RM5,000 dan memerintahkan beliau membayar RM400,000 pada 31 Dis 2024 serta baki RM1.02 juta pada 27 Januari 2025.

Peguam, Guok Ngek Siok me­wakili Guan Eng ketika dihubungi media hari ini memberitahu, Muhyiddin telah men­depositkan jumlah itu termasuk kos sebanyak RM50,000 ke dalam akaun firma guaman, semalam.

“Tan Sri (Muhyiddin) sudah bayar RM1 juta ke akaun pe­langgan firma saya semalam. RM400,000 sudah dibayar bulan Disember. Ia sebagai syarat penggantungan penghakiman yang diperoleh Guan Eng terhadap Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Perkara itu turut disahkan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.

Pada 8 November lalu Hakim Roz Mawar mengeluarkan pe­rintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada sebuah yayasan.

Hakim tersebut mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.

Mahkamah memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.

Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muh­yiddin kerana didakwa me­ngeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Guan Eng mendakwa ke­nyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya de­ngan memberi kuasa atau me­ngarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas ya­yasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya di­ke­nakan cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×