SHAH ALAM: Polis merampas sebanyak 832.9 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM118 juta selepas menyerbu sebuah makmal haram terbesar di Pusat Dagangan Alam Jaya, Puncak Alam, Khamis lalu.
Kegiatan pemprosesan dadah itu dipercayai didalangi sindiket antarabangsa sejak bulan lalu dan polis turut membuat serbuan di Desa Park City yang dijadikan tempat menyimpan dadah berkenaan.
Rampasan besar itu merupakan yang kedua selepas kejayaan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dadah melibatkan 500 kilogram bernilai hampir RM700 juta di kawasan sama pada 2019.
Operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut memberkas seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki warga Taiwan dan seorang wanita Thailand berusia berusia 20 hingga 50 tahun, selain merampas 15 pucuk pistol, satu laras senapang mesingan ringan dan 900 butir peluru.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama melibatkan sebuah gudang di Puncak Alam dan tangkapan lapan lelaki Taiwan disyaki ahli kimia yang sedang memproses dadah, kira-kira pukul 2.20 petang.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan 306kg dadah jenis Erimin 5 dan 183.7kg ekstasi selain peralatan memproses dadah serta pelbagai jenis bahan kimia.
“Serbuan kedua dilakukan pukul 2.30 petang di sebuah premis di Pusat Dagangan Puncak Alam Jaya dan menahan dua lagi lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga Thailand.
“Susulan tangkapan itu, suspek memandu arah polis ke sebuah rumah di Desa Park City Kuala Lumpur yang dijadikan stor simpanan hasil pemprosesan dadah lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.
Kok Chin berkata, polis kemudian memberkas seorang lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai kordinator di sebuah rumah di Taman Balakong Jaya, Seri Kembangan.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah manakala rekod Biro Penyiasatan Kementerian Kehakiman (MJIB) mendapati enam mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai tempat pemprosesan dadah dan rumah sewa dijadikan stor penyimpanan.
“Kita percaya sindiket itu mula aktif sejak awal Disember tahun lalu dan memproses dadah dalam dan luar negara termasuk Jepun serta Kemboja. Sumber dadah dipercayai dari negara jiran di utara dan sindiket dalam proses untuk mengedarkan dadah berkenaan,” katanya.
Kok Chin berkata, polis turut melihat pelbagai sudut sama ada senjata yang dirampas dibawa masuk ke negara ini bagi kegunaan peribadi ketika berurus niaga dadah atau tujuan lain.










