BANGKOK: Seorang lelaki mengejutkan ahli keluarga apabila pulang ke rumah semasa mereka sedang mengadakan upacara pengebumian untuknya di wilayah Isaan, Thailand.
Kekeliruan itu dipercayai berpunca daripada kesilapan polis dalam mengenal pasti identiti mayat yang ditemukan.
Ini susulan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang tidak dikenali pada 18 Januari lalu oleh Balai Polis Borrabue, di mana hasil siasatan awal merumuskan mangsa adalah Phet, seorang penduduk daerah Sawang Dandin di wilayah Sakon Nakhon.
Mayat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Khon Kaen untuk bedah siasat bagi mengesahkan identiti dan punca kematian.
Namun, sebelum keputusan bedah siasat dikeluarkan, polis memaklumkan kepada keluarga Phet bahawa dia sudah meninggal dunia dan meminta mereka membuat persiapan pengebumian.
Pada 20 Januari, keluarga Phet mula mengadakan persiapan di rumah mereka dan dalam masa sama, adik lelaki Phet pergi ke Hospital Khon Kaen untuk mendapatkan pengesahan hasil bedah siasat.
Adiknya memaklumkan Phet mempunyai tatu di bahagian belakang badan, tetapi mayat yang ditemukan tidak mempunyai tatu tersebut.
Beliau bagaimanapun meragui ingatannya dan memutuskan untuk menunggu keputusan rasmi.
Tidak lama kemudian, adiknya menerima panggilan daripada keluarga yang memberitahu Phet sudah pulang ke rumah dalam keadaan selamat dan sihat.
Phet dilaporkan terkejut melihat majlis pengebumian sedang berlangsung untuk dirinya.
Bapa Phet, Kaysorn, 66, memberitahu media tempatan anaknya bekerja dengan mengutip dan menjual barangan kitar semula, serta sering keluar rumah selama beberapa hari untuk mencari barangan terbuang.
Kehilangan Phet yang agak lama membuatkan keluarga percaya lelaki yang ditemukan mati itu adalah lelaki berkenaan.
Menurut Kaysorn, beliau bersyukur anaknya masih hidup dan majlis pengebumian itu kemudian ditukar menjadi upacara keagamaan untuk memohon keberkatan dan menolak bala daripada kehidupan Phet. -AGENSI










