NEW DELHI: Pihak berkuasa India selesai memindahkan ratusan tan sisa berbahaya yang tertinggal lebih 40 tahun selepas bencana industri paling dahsyat di dunia melanda bandar Bhopal.
Sisa dari tapak bencana 1984, yang membunuh lebih 25,000 orang dan menyebabkan kira-kira setengah juta mengalami masalah kesihatan serius, dihantar ke kemudahan pelupusan yang akan mengambil masa tiga hingga sembilan bulan untuk dibakar.
Dalam kejadian 3 Disember 1984, gas metil isosianat bocor dari kilang racun perosak milik American Union Carbide Corporation, meracuni lebih setengah juta penduduk di Bhopal, ibu negeri Madhya Pradesh, India.
Lebih 40 tahun kemudian, konvoi trak mengangkut 337 tan metrik racun itu ke loji pelupusan sisa di bandar perindustrian Madhya Pradesh, Pithampur, 230 kilometer (km) dari Bhopal.
Pengarah Jabatan dan Pemulihan Tragedi Gas Bhopal, Swatantra Kumar Singh memberitahu Reuters, sisa itu akan dilupuskan dengan cara yang mesra alam tanpa menjejaskan ekosistem tempatan.
Agensi kawalan pencemaran persekutuan menjalankan percubaan proses pelupusan sisa pada tahun 2015 dengan 10 tan metrik bahan beracun dan mendapati tahap pelepasan yang dihasilkan adalah selaras dengan piawaian kebangsaan, menurut kenyataan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, aktivis mendakwa sisa pepejal itu akan tertimbus di tapak pelupusan sampah selepas dibakar, mencemarkan air dan menimbulkan masalah alam sekitar.
Ujian air bawah tanah di sekitar tapak kejadian sebelum ini menunjukkan tahap bahan kimia yang menyebabkan kanser dan kecacatan kelahiran adalah 50 kali lebih tinggi berbanding paras dianggap selamat oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat.
Masyarakat setempat menyalahkan pelbagai masalah kesihatan, termasuk cerebral palsy, gangguan pendengaran dan pertuturan serta ketidakupayaan lain, terhadap kemalangan tersebut dan pencemaran air bawah tanah.– AL JAZEERA










