SEOUL: Walaupun sedang digantung tugas, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol masih menerima kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga peratus pada tahun ini, menurut Kementerian Pengurusan Kakitangan.
Yoon yang kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Perlembagaan untuk mengesahkan pemecatan kerana mengetuai pemberontakan dan salah guna kuasa, kini menerima gaji bulanan sebanyak 14.5 juta won (RM44,180).
Gaji tahunan untuk 2025 ditetapkan pada 262.6 juta won, meningkat tiga peratus daripada 254.9 juta won pada 2024.
Pelarasan ini dibuat sejajar dengan kenaikan gaji tahunan pegawai kerajaan, yang juga meningkat sebanyak tiga peratus.
Yoon digantung tugas sejak 14 Disember 2024, apabila Perhimpunan Kebangsaan meluluskan rang undang-undang pemecatannya, 11 hari selepas pengisytiharan undang-undang tentera.
Walaupun digantung daripada kuasa, beliau tetap layak menerima gaji kerana mengekalkan status sebagai presiden sehingga Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya.
Mahkamah kini menyemak rang undang-undang tersebut, dengan had masa enam bulan.
Sekiranya rang undang-undang itu disahkan, Yoon akan serta-merta dilucutkan daripada beberapa keistimewaan.
Menurut undang-undang, bekas presiden berhak menerima 95 peratus daripada gaji mereka sebagai pencen selepas meninggalkan jawatan.
Manfaat itu termasuk tiga setiausaha dan seorang pemandu peribadi, yang dikategorikan sebagai pegawai kerajaan, bersama pembiayaan kewangan untuk mengendalikan pejabat peribadi serta perkhidmatan tambahan seperti keselamatan, pengangkutan dan komunikasi, yang dianggap penting bagi bekas presiden.– ASIA NEWS NETWORK










