KOTA BHARU: Sebilangan penduduk negeri ini menggadai dan menjual emas mereka untuk mendapatkan wang tunai sebagai persediaan penggal baharu persekolah serta menyambut awal Ramadan tidak lama lagi.
Perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mz Gold Sdn. Bhd., Murtadhatumizi Mustapha yang berkata, secara purata pihaknya membeli antara 10 hingga 15 keping surat pajak emas sehari.
“Selain itu, kami membeli emas (fizikal) terpakai sekitar satu kilogram sehari. Hasil perbualan dengan pelanggan, rata-rata memberitahu tujuan mereka menggadai atau menjual (barang kemas) bagi mendapatkan wang untuk (menampung kos) penggal baharu persekolahan serta menyambut Ramadan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sementara itu, tinjauan mendapati, beberapa kedai emas di bandar ini mengalami kesesakan apabila ada dalam kalangan penduduk termasuk perantau mengambil kesempatan untuk membeli barangan kemas.
Murtadhatumizi memberitahu, ketika ini emas terpakai dibeli pada harga RM366 untuk satu gram.
Katanya, bagaimanapun harga tersebut sentiasa berubah mengikut harga emas semasa dunia.
Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Hasmah, 45, berkata, dia menjual seutas gelang tangan untuk meringankan beban suami, selain (menampung kos) persediaan penggal baharu persekolahan dan menyambut Ramadan.
Katanya, dia terpaksa membuat keputusan itu disebabkan tidak mempunyai pilihan.
“Ini adalah keputusan terbaik selepas pendapatan suami tidak menentu. Insya-Allah jika ada rezeki, saya akan membeli barang kemas lain selepas ini. Lagipun saya buat untuk anak-anak,” katanya. – UTUSAN










