GUA MUSANG: Seorang buruh warga Myanmar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 63, Jalan Paloh-Lebir di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.11 petang itu, mangsa, Hung Kee Moung, 33, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Chiku 3.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis SM Sport dari arah Paloh menghala ke Lebir.
“Setiba di lokasi semasa hendak melalui selekoh untuk ke sebelah kiri jalan, motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah lori di laluan bertentangan.
“Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal telah terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa telah dibawa ke Klinik Chiku 3 oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.-UTUSAN