PASIR MAS: UMNO terbuka menerima semula bekas pemimpin yang pernah berjasa termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahril Hamdan dan ramai lagi untuk kembali ke pangkuan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bagaimanapun, kesemua bekas pemimpin itu perlu mematuhi syarat kerana parti mempunyai strukturnya.
Menurutnya, sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima semula bekas pemimpin Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melambangkang jiwa besar sebagai pemimpin No. 1 parti.
“Walaupun begitu teruk presiden dihentam begitu teruk oleh Tajuddin, namun beliau (Ahmad Zahid) tetap menerima semula pemimpin itu (Tajuddin).
“Jika UMNO duduk dalam satu keluarga, saya percaya kita (UMNO) mampu ditegakan. UMNO tidak mampu untuk hilang walaupun satu, sebab semua orang ada kekuatan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas turun padang bergotong-royong membersihkan tabika kemas di Kampung Serongga, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu memberitahu, sekiranya bekas pemimpin masih sayangkan UMNO mereka boleh kembali semula.
Katanya, beliau yakin selepas ini lebih ramai bekas-bekas pemimpin akan kembali semula ke pangkuan parti.
“Dulu Tun Mahathir Mohamad dibuang parti, akhirnya balik dan mengemudi UMNO selama 22 tahun.
“Maka UMNO adalah parti keluarga, jadi kita mungkin beza pendapat. Namun inilah masanya untuk bertaut kembali,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal menyangkal dakwaan pemimpin UMNO telah dicucuk hidung sebagaimana yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin
“Saya adalah bukti bahawa UMNO ini bukan pemimpin yang dicucuk hidung. Sudah berapa kali saya berbeza pendapat dalam parti namun perkara itu diraikan.
“Jika perkara itu tiada, sudah tentu saya dibuang tetapi parti meraikan pendapatannya,” katanya.-UTUSAN