Tunggakan bil perubatan warga asing turun 9 peratus - Utusan Malaysia

Tunggakan bil perubatan warga asing turun 9 peratus

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tunggakan bayaran bil perubatan warganegara asing merekodkan penurunan sebanyak 9.58 peratus kepada RM36.24 juta berbanding RM40.08 juta yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius terhadap rekod tunggakan bil perubatan melibatkan warganegara asing yang mendapatkan rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan itu, katanya, bagi mengurangkan tunggakan, KKM mengadakan perjanjian bersama syarikat swasta di bawah Prosedur Permohonan Mendapatkan Kemudahan Rawatan Pesakit Dalam di hospital KKM dengan menggunakan Surat Jaminan Syarikat melalui penyediaan Jaminan Bank.

“Melalui perjanjian ini, syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank mengikut bilangan pekerja kepada pihak KKM. Misalnya, sebuah syarikat swasta perlu menyediakan jaminan bank berjumlah RM2,500 jika bilangan pekerjanya adalah 200 orang atau kurang.

“Sekiranya bil perubatan tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, potongan jaminan bank akan dilaksanakan oleh KKM untuk menjelaskan bayaran bil tertunggak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Fathul Huzir Ayob (PN – Gerik) yang bertanyakan sejauh manakah kajian terperinci dijalankan terhadap prosedur penyediaan deposit dan jaminan bank, kadar caj serta kaedah kutipan bagi warga asing yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.

Dr. Dzulkefly turut memaklumkan sehingga September lalu, sebanyak 823 syarikat telah menandatangani perjanjian jaminan bank dengan KKM untuk kemudahan perubatan bagi pekerja asingnya.

“KKM pada masa kini sedang meneliti semula prosedur penetapan deposit dan jaminan bank dari segi kadar dan tatacara kutipan agar jumlahnya mencukupi untuk membiayai kos perubatan warganegara asing berkenaan,” katanya.

Hasil daripada tindakan yang telah diambil oleh KKM berhubung tuntutan bayaran bil perubatan warganegara asing sepanjang bulan Disember tahun 2023 hingga bulan September tahun 2024, terdapat penurunan tunggakan yang direkodkan iaitu sebanyak RM3.84juta.

Jumlah itu mewakili 9.58 peratus iaitu penurunan jumlah tunggakan bil daripada RM40.08 juta kepada RM36.24 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN