GUA MUSANG: Seorang gadis yang terselamat daripada ajal selepas dihempap kayu balak masih trauma dengan bunyi kuat dan benda jatuh walaupun kejadian itu sudah lima bulan berlalu.
Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, berkata, bunyi berkenaan membuatkannya mudah terkejut sekali gus teringatkan insiden ngeri tersebut.
Ketika ini dia masih menjalani proses penyembuhan dan rawatan susulan di hospital selepas organ dalaman hati belum sembuh sepenuhnya .
“Doktor mengesan ada darah beku dan berlubang, justeru saya perlu menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu sebulan sekali.
“Saya kini berehat di rumah ibu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang masih belum boleh membuat kerja berat kerana mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan, bagaimanpun berterima kasih kepada semua pihak yang memberi semangat dan doa untuk kesembuhannya.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang gadis parah dihempap kayu balak di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini pada 9 Julai lalu semakin pulih selepas hampir sebulan bertarung nyawa.
Siti Norelyana dibenarkan keluar dari HRPZ II 7 Ogos lalu selepas ditidurkan beberapa kali semasa menjalani rawatan.
Jurujual itu ketika ini sudah menjalani kehidupan seperti biasa meskipun beberapa organ dalaman seperti hati, paru-paru dan buah pinggang hampir rosak termasuk patah pada lima batang tulang rusuk dan belakang. – UTUSAN







