TOKYO: Tokyo akan memperkenalkan waktu bekerja empat hari seminggu untuk kakitangan awam bermula April depan, sebagai usaha untuk meningkatkan kadar kelahiran yang mencatatkan rekod terendah.
Menurut kerajaan tempatan Tokyo, langkah terbaharu itu bakal memberikan penjawat awam cuti tiga hari setiap minggu.
Ia juga mengumumkan dasar yang membenarkan ibu bapa mempunyai anak di sekolah rendah untuk mengurangkan sedikit gaji mereka bagi mendapatkan kebenaran pulang awal dari tempat kerja.
“Kami akan menyemak semula gaya kerja lebih fleksibel, memastikan tiada sesiapa terpaksa meninggalkan kerjaya kerana peristiwa penting dalam hidup seperti melahirkan anak atau menjaga anak kecil.
“Sekarang adalah masa untuk Tokyo mengambil inisiatif untuk melindungi dan meningkatkan kehidupan, di samping pekerjaan serta ekonomi rakyat dalam menghadapi cabaran besar negara,” kata Gabenor Tokyo, Yuriko Koike.
Kadar kesuburan di Jepun merosot dan mencapai tahap terendah pada Jun lalu, walaupun kerajaan meningkatkan usaha untuk menggalakkan golongan muda berkahwin dan memulakan keluarga.
Hanya 727,277 kelahiran direkodkan tahun lalu, di mana kadar kesuburan iaitu bilangan anak bagi setiap wanita sepanjang hayat turun ke paras terendah iaitu 1.2, jauh di bawah kadar 2.1 yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan populasi, menurut Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun.
Kerajaan Jepun memperkenalkan pelbagai dasar bersifat ‘kini atau tidak pernah’ untuk menangani krisis populasi, termasuk menggalakkan golongan bapa mengambil cuti paterniti.
Beberapa kerajaan tempatan juga melaksanakan langkah untuk memperbaiki syarat bekerja.
Pakar sosiologi menyatakan budaya kerja Jepun yang terlalu ketat dan kos sara hidup meningkat adalah punca utama kadar kelahiran terus merosot.
Kajian menunjukkan langkah perkenalkan minggu kerja empat hari meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti pekerja dan Tokyo bukan satu-satunya tempat di Asia yang melaksanakan dasar mesra keluarga.
Awal tahun ini, Singapura memperkenalkan garis panduan baharu yang mewajibkan semua syarikat mempertimbangkan permintaan pekerja untuk jadual kerja fleksibel, termasuk minggu kerja empat hari atau waktu bekerja anjal.– CNN










