KEMAMAN: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh, di sini terkepung setiap kali tengkujuh melanda ekoran dua laluan utama di kampung itu dinaiki air, sejak 20 tahun lalu.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, keadaan itu menyukarkan mereka mendapatkan barangan keperluan apabila laluan untuk ke Bandar Kerteh dan Bandar Ketengah Jaya dinaiki air lebih satu meter.
Seorang penduduk, Abdul Rahim Bidin, 64, berkata, kesulitan itu dilalui lebih 20 tahun lalu oleh penduduk di kampung itu setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Penduduk sudah banyak kali mencadangkan supaya laluan ini ditinggikan kerana jalan yang dinaiki air agak panjang, hampir dua kilometer.
“Setiap kali banjir, sukar penduduk keluar dari kampung. Kalau ada kecemasan, kami perlu dapatkan bantuan pasukan penyelamat dan mereka ambil dengan bot,” katanya semalam.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, penduduk juga terpaksa meredah kawasan hutan melalui jalan kebun sejauh dua kilometer untuk keluar ke bandar.
“Jalan itu hanya boleh dilalui motosikal dan kenderaan pacuan empat roda. Kadangkala motosikal penduduk rosak sebab jalan itu laluan tanah dan berlumpur,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zahari Zakaria, 29, berkata, laluan yang dinaiki air itu turut menyukarkan penduduk untuk keluar bekerja dan pelajar ke sekolah di Kampung Batu Putih.
“Biasanya kalau penduduk yang kerja di Bandar Kerteh atau Paka, memang susah nak keluar bekerja waktu banjir.
“Kadangkala kami terpaksa menumpang di rumah rakan sebab kalau pulang ke kampung, memang terperangkap dan tak boleh ke mana-mana,” katanya. – UTUSAN











