LANGKAWI: Kenaikan tambang feri yang diumumkan oleh pengendali perkhidmatan feri di pulau pelancongan ini telah dibatalkan.
Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom berkata, pembatalan itu atas nasihat Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Atas nasihat MOT dan kerajaan Kedah maka kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 ini dibatalkan. Bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2025,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
Beliau turut kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi yang membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini dan menarik balik pengumuman itu serta-merta selain berunding dengan pihak kementerian dalam masa terdekat.
Katanya, Kementerian Pengangkutan baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari 2025.
Akhbar ini melaporkan kadar tambang feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.
Kenaikan harga tiket itu membabitkan semua kategori penumpang iaitu warganegara, bukan warganegara dan penduduk Langkawi. Namun, tiket untuk warga emas 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) tidak mengalami perubahan. – UTUSAN











