KUANTAN: Suami kepada pelakon dan bekas peragawati terkemuka tanah air, Zahnita Wilson direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas wanita tersebut mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman hari ini.
Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan pukul 8.30 pagi dan selesai reman setengah jam kemudian.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Pahang, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan lelaki tersebut susulan laporan polis dibuat pelakon wanita berkenaan. Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Zahnita, 39, telah membuat pendedahan di media sosial tentang dirinya yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Pelakon itu menerusi perkongsian foto di Instagram miliknya juga memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam selepas mendakwa berlaku pergaduhan selepas dia membangkitkan persoalan sama ada suaminya itu mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Untuk rekod, pada 2013, Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor.
Zahnita mendirikan rumah tangga pada 2005 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. – UTUSAN