Semua parti perlu saling menghormati – Khaled

Semua parti perlu saling menghormati – Khaled

MOHAMED KHALED Nordin melawat pameran sempena Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu saling hormat-menghormati supaya perpaduan dan keharmonian yang ada dapat dikekalkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana kekuatan gabungan Kerajaan Perpaduan adalah hasil daripada kerjasama yang terjalin sebelum ini.

“Saya percaya setiap parti dalam kerajaan, dalam mana-mana pembentukan sesebuah kerajaan gabungan perlu ada perasaan menghormati parti-parti lain (dalam gabungan sama).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini kerana kita (parti komponen) bekerjasama menubuhkan kerajaan (Perpaduan). Jadi, mesti hormat-menghormati,” katanya diminta mengulas khabar angin bahawa Ahli Maj­lis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan keluar parti itu bagi menyertai PKR untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Se­langor baharu.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu tidak menerima sebarang pemakluman tentang perkara tersebut dan setakat ini Tengku Zafrul juga tiada bertemu dengannya untuk membincangkannya.

Terdahulu, Mohamed Kha­led yang juga Menteri Pertahanan merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Felda Kampung Baru Pasak, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Pemuda UMNO mencadangkan Barisan Nasional (BN) mengkaji semula hubungan mereka dengan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata demikian ekoran desas-desus menyatakan ada ahli dan pemimpin UMNO yang sedang ‘dipikat’ oleh pihak luar.

Beliau berkata, langkah tersebut wajar diselidik dahulu jika ada ‘kawan dalam kerajaan’ yang tidak menghormati ahli BN.

“UMNO mempunyai maruah dan tidak boleh sewenang-wenangnya diperlekehkan.

“Jika ada kawan yang dalam kerajaan sendiri tidak mampu nak hormat UMNO dan BN de­ngan nak ambil ahli parti kawan sendiri, maka seharusnya kita perlu kaji semula hubungan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, timbul tanda tanya mengenai Tengku Zafrul mungkin menyertai PKR.

Beliau sebelum ini dilantik menjadi Bendahari UMNO Selangor namun melepaskan jawatan tersebut pada 1 April lalu ekoran perbezaan pandangan dengan barisan kepimpinan parti di negeri berkenaan.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh juga memaklumkan, parti itu tidak menerima sebarang permohonan menjadi ahli daripada Tengku Zafrul.

Dalam pada itu, Akmal berkata, semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, sudah ada parti lain yang ‘sibuk nak mencuri’ ahli Umno agar menyertai pihak lain.

Justeru, katanya, kali ini UMNO perlu menunjukkan ke­tegasan agar perkara itu tidak berulang.

“UMNO bukan parti yang boleh ditendang ke sana sini. Kita ada maruah kita,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×