'Saya percaya KJ, Hisham masih sayangkan UMNO'

‘Saya percaya KJ, Hisham masih sayangkan UMNO’

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin yang digantung dan dipecat UMNO termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin ‘diminta’ kembali bagi mengukuhkan ke­dudukan parti.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memberitahu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin berkenaan da­lam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

Kata Tajuddin, beliau tidak pernah berbincang dengan mana-mana pemimpin tentang isu tersebut meskipun mendedahkan yang beliau berjumpa Khairy sebelum ini.

“Setakat ini belum lagi (berjumpa dan berbincang) sebab saya tengah fikirkan sama ada layak atau tidak layak untuk saya nak pujuk, nanti kata saya memandai pula. Tetapi, sehari dua ni bolehkah saya cakap jika berkesempatan dan berjumpa sebab Presiden sendiri secara terbuka menjelaskan kalau lain-lain itu nak masuk balik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersedia untuk pertimbangkan.

“Saya seru kepada rakan-rakan yang berkenaan yang digantung, dipecat, kita lupakanlah apa yang berlaku, demi kepen­tingan parti dan perjuangan kita elok kembali kepada UMNO. Kalau di luar UMNO pun apa kita boleh buat?” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tajuddin diterima semula keahlian minggu lalu selepas berdepan penggantungan enam tahun, bagaimanapun beliau tetap menunjukkan dukungan kepada parti pada Pilihan Raya kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota, selain hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Malah, Tajuddin juga membuat rayuan empat kali agar penggantungan itu ditarik kembali sebelum parti memutuskan beliau kembali menjadi ahli UMNO yang aktif.

Mengulas lanjut, beliau turut meyakini pemimpin yang digantung parti masih ada ‘hati’ bersama dengan UMNO, maka sebab itu mereka tidak mengambil langkah lompat parti.

“Saya mengaku ada salah faham dengan Presiden, saya minta maaf sahajalah dan Pre­siden pun senang hari me­nerima permohonan maaf saya. Tidak ada rugi pun, tidak ada pula orang caci maki, kata dulu bukan main handal sekarang minta maaf.

“Cuma untuk sekarang me­mang saya belum adakan perbincangan dengan mereka,” ujarnya lagi.

Tajuddin turut mendedahkan ada ‘gerakan’ cuba mengajak beliau menyertai parti lain dalam tempoh dua bulan ke­belakangan ini.

“Memang ada satu dua kawan saya, tidak mahu sebut nama­nya, mereka yang ‘melompat’ untuk panggil kawan-kawan lama ajak pergi makan, tetapi saya fahamlah bukan makan sahaja-sahaja, memang tidak dapat sambutan.

“Ibaratnya nak buat gerakan, yang mengajak itu adalah mereka yang melompat-lompat, tetapi saya tiada masalah dengan mereka, kita berkawan dan masih tidak putus hubungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN