HULU TERENGGANU: Mangsa tragedi tanah runtuh yang cedera dalam kejadian di Kampung Bukit Apit, Ajil petang semalam sempat mendengar jeritan dan melihat salah seorang adik perempuannya di bawah runtuhan sebelum dia tidak sedarkan diri.
Uzair Azman, 17, yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pukul 11 malam tadi, berkata, dia juga turut berusaha alihkan sisa runtuhan namun gagal setelah berlakunya pergerakan tanah.
Menurutnya, sebelum kejadian, dia berada di rumah jiran berdekatan dan tiba-tiba dikejutkan bunyi kuat runtuhan tanah sebelum diikuti jeritan meminta tolong oleh abangnya, Abdul Raziq,18.
“Saya segera pulang serta meluru masuk untuk cuba selamatkan adik-adik, namun tidak berjaya. Ketika saya berusaha angkat untuk alihkan sisa runtuhan tiba-tiba tidak sedarkan diri dan sewaktu sedar sudah berada di hospital.
“Keadaan kelam-kabut itu saya mendengar adik-adik saya menjerit. Saya juga nampak kelibat salah seorang daripada mereka beberapa ketika sebelum dia tertimbus setelah terjadinya satu lagi runtuhan.
“Kedua-dua adik saya yang terkorban berada di bahagian ruang tamu sewaktu kejadian, manakala abang dalam bilik belakang. Dia sempat keluar selamatkan diri memandangkan bilik itu tidak terkena runtuhan tanah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil, dekat sini semalam.
Tambahnya yang merupakan anak keempat dari tujuh beradik, ketika kejadian ibunya, Ruziah Fuad,46, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.
Sementara itu, anak sulung Ruziah iaitu Aminuddin Azman, 25, berkata, walaupun sedih dengan kejadian menimpa namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Doa dan harapan saya sekarang semoga ibu kembali kuat kerana tragedi yang berlaku benar benar berikan kesan mendalam. Fokus saya ingin pastikan emosi serta dalaman ibu stabil semula.
“Sejak ayah meninggal dunia pada tahun 2019 lalu akibat strok dan sakit jantung, ibulah yang menjadi ketua keluarga menjaga kami tujuh beradik dengan hasil jualan sebagai penjual kuih.
“Rumah yang didiami, baharu disewa sejak setahun lalu. Sebelum ini menyewa di rumah lain, saya pula tinggal berasingan di kampung ini juga kerana telah mendirikan rumah tangga,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik maut dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil kira-kira 4.30 petang, semalam. – UTUSAN










