RMT disemak, ditambah baik

RMT disemak, ditambah baik

FADHLINA Sidek pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyemak dan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi meningkatkan budaya pemakanan sihat di kalangan golongan sasar.

Bagi tujuan itu, KPM sudah menubuhkan pasukan petugas untuk menilai segala isu membabitkan pelaksanaan RMT.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pasukan tersebut akan membentangkan laporan hasil kajian pada 1 Mac 2025.

Beliau berkata, pelaksanaan RMT sejak 1979 mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan senarai 20 menu berbeza setiap hari.

“Laporan pasukan petugas ini kelak akan melihat rangkuman pelbagai ma salah berbangkit termasuklah keberkesanan aspek pemantauan pentadbir sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan KPM, di sini semalam.

Beliau menegaskan, RMT di­wujudkan untuk membuda­yakan amalan pe­ma­­ka­nan sihat dalam kalangan murid keluar­ga miskin, sebagai usaha intervensi ber­sa­ma KKM bagi memastikan kumpulan sa­saran layak menerima khasiat seimbang

“Apa sahaja isu termasuk isu kos RMT yang dikatakan rendah itu memang ada dalam radar diperbincangkan oleh pasukan itu,” katanya.

Fadhlina mengulas laporan Utusan Malaysia Rabu lalu mengenai keluhan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia mengenai isu kos tinggi penyediaan RMT susulan kenaikan harga bahan mentah mengakibatkan mereka sukar menyediakan menu lengkap dan berkhasiat untuk murid penerima skim itu.

Namun kerajaan ketika pembentangan Belanjawan 2025, telah menambah dana RMT kepada RM870 juta daripada RM784 juta untuk tahun ini dan bakal memanfaatkan lebih 860,000 murid miskin.

Fadhlina tidak menolak laporan itu akan turut menilai kos menu ditetapkan RM3.50 bagi setiap pe­nerima di Semenanjung serta RM4 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sebelum ini KPM pernah menaikkan kadar RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekarang.

Sementara itu, Fadhlina turut menafikan berlaku kebocoran kertas soalan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sepertimana tular diperkatakan warganet tempatan.

“KPM sudah menyemak per­kara berkenaan dan laporan awal menunjukkan kes itu tidak menepati kriteria stan­dard kebocoran malah situasi adalah masih terkawal,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut me­ngambil maklum laporan media tempatan mengenai ada pelajar menawarkan imej pornografi dan berjanji akan membuat siasatan kesahihan isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×