TEMERLOH: Seramai 498 penternak ikan patin sangkar di daerah ini bimbang aliran air deras dan ancaman kayu hanyut merosakkan sangkar yang menyebabkan ternakan terlepas jika gelombang kedua banjir melanda.
Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Sangkar Daerah Temerloh, Ibrahim Hussien, 63, berkata, sebanyak 4,921 petak sangkar milik penternak perlu diikat menggunakan tali tambahan bagi mengelakkannya terputus dan dibawa arus deras Sungai Pahang.
Katanya, pada musim tengkujuh, penternak ikan patin sangkar menghadapi aliran air deras dan ancaman kayu hanyut yang boleh merosakkan sangkar.
“Kejadian seperti ini sering berlaku kepada penternak ikan sangkar Sungai Pahang Daerah Temerloh . Bagi mengurangkan risiko kerugian, mana-mana ikan besar akan dijual dengan harga borong berbanding RM22 sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau meminta semua penternak ikan sangkar mengambil gambar sebelum dan selepas banjir sebagai bukti bergambar semasa membuat permohonan bantuan seperti benih ikan kepada Jabatan Perikanan Pahang.
Sementara itu, seorang penternak ikan sangkar dari Kampung Bangau Tanjung, Shamsul Sabri Abu Bakar, 38 , mengakui setiap kali menjelang Monsun Timur Laut, para penternak berasa gundah berlaku banjir besar seperti 2014.
Sebagai langkah berjaga-jaga, para penternak mengikat setiap sangkar dengan tali manakala jaring sangkar dipastikan tidak bocor.
“Kami bertawakal sangkar tidak pecah atau hanyut dibawa arus deras air Sungai Pahang,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai makan, Ismail Abdullah, 40, berharap gelombang kedua banjir tidak membawa musibah lebih besar kerana implikasinya menjejaskan pelbagai pihak seperti penternak, peniaga dan orang ramai.