GUA MUSANG: Penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan ladang dipercayai menjadi antara pencetus konflik manusia dan haiwan liar, menyaksikan hidupan itu terpaksa keluar dari habitat asal untuk mencari makanan.
Penghulu Mukim Relai di sini, Mohd. Sopian Che Seman berkata, penerokaan berskala besar menyebabkan hutan semakin mengecil sehingga memberi kesan kepada kawasan rayau haiwan liar.
Katanya, situasi itu menyaksikan hidupan liar seperti gajah, beruang dan harimau terpaksa memasuki kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan.
“Sebelum ini kawasan Gua Musang mempunyai bentuk muka bumi berbukit-bukau dan kawasan hutan yang banyak.
“Namun, perubahan ekosistem hutan menyebabkan haiwan liar beralih meneruskan kehidupan di luar sehingga mengganggu penempatan manusia bagi mendapatkan sumber makanan,” katanya dihubungi semalam.
Mohd. Sopian memberitahu, keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan tersebut semakin berani masuk ke kawasan penempatan manusia.
Beliau justeru berharap aktiviti penerokaan hutan dikurangkan bagi mengelak konflik manusia dengan hidupan liar.
Kelmarin, seekor harimau kumbang masuk perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 di sini. – UTUSAN











