KULAI: Polis menahan seorang penjaga rumah anak yatim di Taman Mas, di sini pada minggu lalu setelah disyaki merogol seorang penghuni rumah anak yatim itu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi di rumah anak yatim tersebut.
Beliau memberitahu, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.
“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian rogol seorang remaja perempuan warga tempatan berusia 17 tahun pada pukul 9.48 malam, 29 November lalu dan melakukan tangkapan pada pukul 3 pagi keesokan harinya.
“Kejadian berlaku di rumah anak yatim tersebut. Mangsa didakwa dirogol penjaga rumah anak yatim itu pada tahun 2020 hingga 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, semasa kejadian mangsa berusia 13 hingga 15 tahun dan suspek kini dalam tahanan reman hingga Selasa.
Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.