Kos Rancangan Tebatan Banjir cecah RM392 bilion

Kos Rancangan Tebatan Banjir cecah RM392 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggarkan kos keseluruhan sebanyak RM392 bilion diperlukan untuk melaksanakan 365 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara.

Namun, peruntukan tahunan yang diterima kerajaan pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung kos sebesar itu, memaksa pelaksanaan projek dilakukan mengikut keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, keperluan kewangan yang begitu tinggi ini menjadikan pengurusan peruntukan perlu dilakukan secara strategik dan berhati-hati.

“Dengan hanya RM1 bilion diperuntukkan setakat ini, kerajaan terpaksa menumpukan kepada projek-projek kritikal di kawasan yang paling terjejas dan memerlukan perhatian segera.

“Bajet yang diperlukan bagi menyelesaikan isu banjir mencecah hampir RM392 bilion, namun peruntukan yang kita terima setakat ini hanya RM1 bilion.

“Disebabkan kita mempunyai masalah peruntukan yang terhad, kerajaan terpaksa memberi keutamaan kepada projek-projek tebatan banjir yang benar-benar memerlukan, mengikut keutamaan kawasan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) yang meminta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan langkah yang diambil bagi meningkatkan persediaan menghadapi banjir.

Tambah beliau, tumpuan utama diberikan kepada kawasan berisiko tinggi yang kerap terjejas oleh banjir besar, termasuk kawasan penempatan padat dan lokasi strategik yang penting untuk ekonomi negara.

Katanya, projek-projek ini termasuk pembinaan infrastruktur saliran moden, pembaikan sistem perparitan, serta pembangunan empangan dan kolam takungan air sebagai langkah mitigasi.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan diperlukan bagi memastikan projek-projek ini dilaksanakan dengan berkesan.

Tambahan pula, perubahan iklim yang semakin ketara menjadikan usaha mitigasi banjir ini lebih mendesak.

“Perubahan iklim membawa cabaran besar kepada negara, dengan pola hujan yang tidak menentu dan kekerapan banjir yang semakin meningkat.

“Oleh itu, kerajaan perlu membuat keputusan mengikut keutamaan dalam menyelesaikan masalah banjir ini,” jelasnya.

Beliau berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berpuas hati dengan projek yang telah dilaksanakan, contohnya projek terowong SMART yang telah siap sejak 2007 dengan perbelanjaan sebanyak RM1.97 bilion.

Katanya, sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong itu telah diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan berjaya mengurangkan risiko banjir di pusat bandar.

“Berdasarkan kajian oleh JPS pada 2012, jumlah kerugian yang berjaya diselamatkan hasil pengaktifan lencongan itu bernilai lebih RM4.3 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, JPS sudah mengemaskini dan mengenalpasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.

Jelasnya, tindakan-tindakan awal turut sudah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, retrofitting, dan sebagainya serta sistem amaran awal.

“Ini bagi memastikan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×